Pelarasan semula kuota subsidi petrol RON95 (BUDI95) pada harga RM1.99 seliter yang dijangkakan sebelum ini nampaknya berlaku betul apabila perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu secara rasmi sebentar tadi.
Had 300 liter sebulan bagi setiap individu yang ditetapkan sebelum ini akan diturunkan kepada 200 liter bermula 1 April 2026, dengan Anwar mengatakan ia cuma adalah langkah sementara sehingga keadaan pulih. Walaubagaimanapun, tanda ke arah itu masih belum ada.
Seperti sebelum ini, beliau juga sekali lagi menyatakan bahawa 90% pengguna tidak terkesan kerana menggunakan di bawah had itu, dengan purata yang dicatat cuma 100 liter setiap orang. Pemandu e-hailing pula masih boleh menikmati had sehingga 800 liter sebulan.
Sementara itu untuk Sabah dan Sarawak, kerajaan turut akan melaksanakan had pengisian diesel baru bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan. Bagi kenderaan ringan pengangkutan awam barangan dan persendirian, mereka hanya boleh mengisi maksimum 50 liter bagi setiap pembelian.
Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan pula ditetapkan maksimum 100 liter bagi setiap pembelian dan kenderaan melebihi tiga tan pula maksimum 150 liter setiap pembelian.
Bermula hari ini, harga diesel ditetapkan pada RM5.52 seliter bagi Semenanjung Malaysia, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula adalah RM2.15 seliter. Sebagai perbandingan dengan negara jiran, harga di Kalimantan, Indonesia adalah sekitar IDR15,000 (RM3.55) seliter atau IDR6,800 (RM1.61) seliter untuk biodiesel dengan subsidi.
Brunei pula menetapkan harga diesel biasa pada BND0.31 (RM0.97) seliter dan BND0.95 (RM2.96) seliter untuk diesel premium. Harga di Filipina adalah lebih tinggi, antara PHP92 (RM6.11) ke PHP126 (RM8.37) seliter.
The post Kuota subsidi RON95 diturunkan kepada 200 liter mula 1 April, pengisian diesel di Sabah, Sarawak ada had appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















