Pengeluar automotif China, Chery, kini memasuki segmen kereta elektrik bandar mampu milik yang semakin berkembang dengan memperkenalkan model baru Chery Q. Model ini membuat kemunculan sulung di rantau ASEAN semasa Bangkok International Motor Show (BIMS) dan bakal bersaing dengan model seperti Proton eMas 5, BYD Atto 1, Wuling Bingo serta Firefly EV.
Dikenali sebagai QQ3 di pasaran China, model ini membawa kembali nama QQ yang pernah mencetuskan kontroversi kerana reka bentuknya yang mirip kepada Daewoo Matiz. Menariknya, Chery turut menggunakan tema huruf “Q” secara meluas dengan menamakan tiga varian sebagai Qool, Quint dan Qlick.
Dari segi harga, Chery menganggarkan julat antara 400,000 hingga 500,000 baht, bersamaan sekitar RM55,000 hingga RM65,000. Pembeli yang membuat tempahan semasa pameran turut ditawarkan rebat sebanyak 20,000 baht.
Dengan dimensi 4,195 mm panjang, 1,811 mm lebar dan 1,573 mm tinggi, Chery Q berada dalam kategori lebih besar berbanding kebanyakan pesaingnya. Sebagai perbandingan, ia lebih panjang, lebih lebar dan sedikit lebih rendah berbanding eMas 5, manakala jarak rodanya sepanjang 2,700 mm juga memberikan kelebihan dari segi ruang dalaman.
Bagi trenkuasa, varian asas dilengkapi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang yang menghasilkan 79 PS dan 90 Nm, dipadankan dengan bateri LFP berkapasiti 29.48 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 310 km mengikut kitaran CLTC.
Untuk varian lebih tinggi, kuasa ditingkatkan kepada 122 PS dan 115 Nm bersama bateri lebih besar 41.28 kWh yang mampu mencapai sehingga 420 km (CLTC). Dalam penggunaan sebenar, angka WLTP dijangka sekitar 250 km hingga 340 km bergantung kepada varian.
Dari segi pengecasan, model ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 85 kW, membolehkan tahap bateri meningkat dari 30 ke 80 peratus dalam hanya 16.5 minit. Pengecasan AC pula menyokong kadar 3.3 kW atau 6.6 kW bergantung kepada varian.
Reka bentuk luaran Chery Q menampilkan gaya tipikal EV bandar dari China dengan lampu hadapan dan belakang berbentuk bulat bersama grafik lampu mendatar, rekaan badan yang lembut serta pemegang pintu jenis tersembunyi. Elemen tiang-D yang dipotong memberikan ilusi bumbung terapung, manakala pilihan rim aloi hadir dalam saiz 16 inci atau 17 inci dengan rekaan berbeza.
Di dalam kabin, pendekatan reka bentuk menampilkan elemen berbentuk kapsul pada papan pemuka, corong pendingin hawa dan perehat tangan pintu. Ia dilengkapi paparan instrumen digital 8.8 inci serta skrin sentuh utama bersaiz 15.6 inci.
Menariknya, tidak seperti model Chery lain, kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa masih dikekalkan. Turut disediakan ialah sambungan khas untuk aksesori seperti pemegang telefon, seakan ciri yang terdapat pada Proton X50.
Antara kelengkapan lain termasuk tempat duduk hadapan dengan pelarasan kuasa serta fungsi pemanas dan pengudaraan, pengecas Qi tanpa wayar 50 watt, sistem kamera 360 darjah, bantuan parkir dan pintu but belakang berkuasa.
Ruang kargo pula menawarkan kapasiti 375 liter yang boleh diperluas sehingga 1,450 liter dengan tempat duduk belakang dilipat, selain ruang simpanan tambahan di bawah tempat duduk belakang dan ruang kargo hadapan.
Dari aspek keselamatan, Chery Q dilengkapi sehingga enam beg udara serta pelbagai sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran pergerakan kenderaan hadapan, amaran pembukaan pintu dan lampu tinggi automatik.
Memandangkan Chery sudah mempunyai operasi pemasangan tempatan di Malaysia, tidak mustahil model ini akan dibawa masuk ke pasaran tempatan sebagai pesaing kepada model-model dalam segmen yang sama.
The post Chery Q EV dipamer di Thailand – EV bandar lawan Proton eMas 5, BYD Atto 1; jarak gerak CLTC 420 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































