Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menggerakkan pasukan tindak balas kecemasan (ERT) di 12 lokasi strategik sebagai persediaan menghadapi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Dalam masa sama, sebanyak 873 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negara akan diaktifkan bagi memantau aliran trafik secara menyeluruh, lapor New Straits Times.
Langkah ini diambil susulan jangkaan peningkatan jumlah kenderaan yang boleh mencecah sehingga 3.5 juta sepanjang tempoh perayaan. Ketua Pengarah LLM, Mohd Hadzmir Yusoff berkata, penugasan ERT akan dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk polis, bomba, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta perkhidmatan ambulans bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.
Menurut beliau lagi, pemantauan melalui CCTV membolehkan pusat kawalan trafik mengesan lebih awal sebarang kesesakan, kemalangan atau kerosakan kenderaan. Maklumat tersebut kemudiannya akan disalurkan kepada pengguna jalan raya menerusi 277 papan tanda digital yang dipasang di sepanjang lebuh raya.
Dari segi unjuran trafik, LLM menjangkakan sebanyak 2.3 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad. Lebuh raya lain turut mencatatkan angka tinggi termasuk West Coast Expressway dengan 215,000 kenderaan, KL-Karak Highway sebanyak 210,000, serta East Coast Expressway LPT1 dan East Coast Expressway LPT2 masing-masing dianggarkan 106,000 dan 65,000 kenderaan.
Bagi lebuh raya penghubung pula, Duta-Ulu Kelang Expressway dijangka merekodkan 295,000 kenderaan, diikuti Kajang-Seremban Expressway dengan 159,000, serta Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway sebanyak 135,000 kenderaan.
Dalam perkembangan sama, semua syarikat konsesi lebuh raya telah diarahkan supaya tidak menutup lorong kecuali dalam situasi kecemasan sepanjang tempoh bermula hari ini hingga 30 Mac. Selain itu, PLUS Malaysia Berhad turut akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 34 lokasi terpilih bagi membantu melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan.
The post LLM akan gerakkan pasukan tindak balas kecemasan di 12 lokasi strategik sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















