Honda secara rasminya membatalkan pembangunan untuk tiga model elektrik penuh (EV) yang dirancang untuk diproduksi tidak lama lagi iaitu Acura RSX, Honda 0 SUV dan juga Honda 0 Saloon kerana pasaran EV yang lembab dan bakal menyebabkan syarikat ini rugi lebih banyak pada jangka masa panjang sekiranya penjualannya diteruskan.

Syarikat tersebut mengumumkan perkara ini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini menerangkan situasi kewangan untuk perniagaan automobilnya yang kini sedang merosot. Menurut Honda ia terperangkap dalam situasi tersebut kerana dua perkara iaitu perubahan polisi tarif Amerika Syarikat yang memberi kesan terhadap perniagaan kenderaan dengan enjin petrol dan hibrid, serta produk Honda yang kini tidak kompetitif di Asia kerana syarikat lebih menumpukan lebih banyak sumber terhadap pembangunan EV.

Menurut Honda lagi persekitaran perniagaan automobil Honda juga kini sedang mengalami perubahan yang signifikant, dan masih lagi belum ada kepastian dalam apa jua situasi.

“Sebelum ini, dengan peraturan alam sekitar yang ketat dilaksanakan sepenuhnya di A.S. dan negara-negara lain, Honda meneruskan adaptasi EV dengan tekad yang kuat bahawa usaha untuk mencapai peneutralan karbon adalah tanggungjawab Honda, sebagai pengeluar produk mobiliti, yang mesti dipenuhi untuk masa depan. Walau bagaimanapun, di A.S, pengembangan pasaran EV telah menjadi lembab disebabkan oleh beberapa faktor termasuk pelonggaran peraturan bahan api fosil dan semakan semula insentif EV,” kata Honda dalam kenyataan tersebut.

Honda batalkan produksi tiga EV iaitu Acura RSX, Honda 0 SUV & 0 Saloon untuk elak rugi lebih banyak
Honda batalkan produksi tiga EV iaitu Acura RSX, Honda 0 SUV & 0 Saloon untuk elak rugi lebih banyak

Situasi juga tidak menyebelahi Honda di pasaran automotif terbesar dunia iaitu di China, di mana nilai pelanggan pada pasaran tersebut kini telah berubah dari perincian perkakasan seperti keberkesanan bahan api dan ruang kabin, kepada perincian-perincian berasaskan perisian yang akan secara berterusan berubah mengikut kemahuan pelanggan.

“Ini telah meningkatkan persaingan disebabkan oleh kemunculan pesat pengeluar EV baharu yang memanfaatkan kitaran pembangunan produk pendek dan kekuatan mereka dalam bidang teknologi kenderaan tertakrif perisian (SDV), termasuk sistem bantuan pemandu termaju (ADAS). Dalam persekitaran persaingan yang begitu sukar, Honda tidak dapat menghasilkan produk yang menawarkan nilai untuk wang yang lebih baik daripada pengeluar EV baharu, mengakibatkan penurunan daya saing,” jelas Honda lagi.

Acura RSX sepatutnya akan mula masuk ke pasaran bermula separa kedua tahun ini dan versi prototaip yang hampir kepada versi produksi sebenarnya telah pun didedahkan tahun lalu. Manakala Honda 0 SUV dan 0 Saloon pula merupakan sebahagian dari model EV 0 Honda yang diumumkan pada 2024 dengan sasaran untuk dilancarkan bermula 2026 sehingga 2030.

The post Honda batalkan produksi tiga EV iaitu Acura RSX, Honda 0 SUV & 0 Saloon untuk elak rugi lebih banyak appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts