BYD Atto 3 bakal menerima versi kemaskini baharu untuk tahun 2026, di mana model berkenaan sudahpun muncul di laman web rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China dan dilaporkan oleh CarNewsChina.

Dokumentasi untuk pemfailan di MIIT tersebut mendedahkan bahawa Atto 3 yang dikemas kini berkenaan menampilkan ukuran 4,665 mm panjang, 1,895 mm lebar dan 1,675 mm tinggi dengan jarak roda 2,770 mm, menjadikan ia 200 mm lebih panjang berbanding versi sedia ada. Berat untuk Atto 3 2026 pasaran China ini pula didakwa ditimbang pada 1,690 kg.

Atto 3 2026 ini juga nampaknya menerima konfigurasi yang sama dengan Atto 3 Evo yang didedahkan di Eropah baru-baru ini di mana motor tunggal yang dibekalkan bukan lagi memacu roda hadapan, sebaliknya diletakkan pada gandar belakang untuk memacu roda belakang. Dokumen yang terdedah di MIIT ini juga menunjukkan bahawa ia bakal ditawarkan dengan dua pilihan motor iaitu 200 kW (272 PS) dan 240 kW (326 PS).

BYD Atto 3 2026 terdedah di China – kini pacuan roda belakang, versi 272 PS dan 326 PS, penggayaan baru

Kemaskini mekanikal lain masih belum didedahkan. Namun ada kemungkinan ia akan menyerupai penawaran yang diberikan pada model Evo di Eropah di mana suspensi multilink di belakang kini menerima sistem lima-hubungan berbanding empat-hubungan sebelum ini, dan ruang kargo belakang menampilkan kapasiti 50 liter lebih besar kepada 490 liter, atau 1,360 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat dan ruang frunk berkapasiti 101 liter.

Manakala menurut laporan IT Home pula, Atto 3 2026 pasaran China ini mungkin akan menggunakan bateri BYD Blade generasi kedua, di mana ia menampilkan ketumpatan tenaga lebih baik dan mampu dicas semula dari 10%-70% hanya dalam masa lima minit.

Untuk ADAS pula, fail MIIT mendedahkan bahawa Atto 3 ini akan menerima beberapa penderia tambahan, dan ia ditunjuk diletakkan pada bahagian bumbung (untuk Lidar), dan juga radar yang diletakkan di hadapan serta kamera pada kedua-dua belah fender sisi.

BYD Atto 3 2026 terdedah di China – kini pacuan roda belakang, versi 272 PS dan 326 PS, penggayaan baru

Selain itu Atto 3 ini turut menerima kemaskini rupa di mana ia diberikan bampar hadapan yang telah direka semula, lampu hadapan yang lebih nipis dan pembuka pintu separa tenggelam. Ia ditawarkan dengan set roda dengan rim aloi sama ada 18- atau 19-inci.

Di belakang pula, lampunya kini sama tebal dengan bar yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang. Spoiler bumbung juga telah direka semula untuk menempatkan lampu brek ketiga yang lebih nipis. Menurut CarNewsChina yang memetik laporan media China yang lain, tempahan bagi BYD Atto 3 2026 tersebut mungkin akan dibuka pada pertengahan tahun ini.

The post BYD Atto 3 2026 terdedah di China – kini pacuan roda belakang, versi 272 PS dan 326 PS, penggayaan baru appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts