Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) hari ini secara rasmi menarik balik penarafan keselamatan 5-bintang bagi Proton X90 yang diberikan pada Mei 2023 susulan pelancaran model kemaskini 2026 (MC1) minggu lalu kerana sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada SUV tujuh-tempat duduk berkenaan telah pun disingkirkan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penarafan 5-Bintang yang diberikan kepada X90 dengan ujian yang dibuat di bawah protokol ASEAN NCAP 2021-2025 sebelum ini diturunkan hanya kepada 1-Bintang. Menerusi ujian yang dibuat pada 2023 tersebut Proton X90 asalnya memperoleh penarafan 5-Bintang dengan skor keseluruhan 83.79 mata yang merangkumi prestasi cemerlang dalam Perlindungan Penumpang Dewasa (37.75 mata), Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (17.79 mata), Bantuan Keselamatan (15.71 mata), dan Keselamatan Penunggang Motosikal (12.50 mata).

Namun selepas pelancaran model MC1 minggu lalu, ASEAN NCAP menyemak semula spesifikasi keselamatan yang diberikan dan mendapati sebahagian besar teknologi ADAS termasuk Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), serta Teknologi Titik Buta (BST) yang sebelum ini merupakan ciri standard, kini dibuang sepenuhnya.

Proton X90 MC1 2026 – penarafan 5-bintang ASEAN NCAP ditarik, turun ke 1-bintang kerana tiada ADAS

ASEAN NCAP menjelaskan di bawah Protokol ASEAN NCAP 2021-2025, penarafan bintang sesebuah kenderaan akan dihadkan jika ia menunjukkan prestasi buruk dalam mana-mana kategori tunggal, bagi memastikan “perlindungan menyeluruh” diberikan.

“Penyingkiran teknologi-teknologi ini telah menyebabkan skor Bantuan Keselamatan (SA) jatuh ke tahap 4-Bintang, manakala kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS)-yang sangat bergantung kepada Pengesanan Titik Buta—telah merosot mendadak ke penarafan 1-Bintang.

“Kesannya, penarafan keseluruhan Proton X90 kini dihadkan pada tahap 1-Bintang sahaja. Walau bagaimanapun, ASEAN NCAP mengesahkan bahawa penarafan keselamatan 5-Bintang hanya terpakai untuk varian X90 yang dikilangkan antara tahun 2023 hingga 2025. Model-model khusus ini telah disahkan dilengkapi dengan teknologi ADAS yang ditetapkan oleh protokol penilaian 2021-2025 kami. MIROS dan ASEAN NCAP menggesa para pengguna untuk lebih teliti dan menyemak spesifikasi keselamatan varian pilihan mereka bagi memastikan ia memenuhi piawaian 5-Bintang tersebut,” tulis kenyataan rasmi ASEAN NCAP yang disiarkan pagi ini.

Sementara itu Ketua Pengarah MIROS Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah binti Ishak menyatakan bahawa pihak amat kesal dengan keputusan Proton untuk mengeluarkan teknologi ADAS yang mampu menyelamatkan nyawa daripada model kemaskini baharu tersebut.

Proton X90 MC1 2026 – penarafan 5-bintang ASEAN NCAP ditarik, turun ke 1-bintang kerana tiada ADAS

“Bagi melindungi pengguna dan mengekalkan integriti piawaian keselamatan, kami tidak mempunyai pilihan selain menarik balik penarafan 5-Bintang tahun 2023 tersebut. Ini menjadi peringatan kepada semua pengeluar: keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi. Jangan korbankan teknologi keselamatan yang telah terbukti demi kemewahan luaran semata-mata seperti sistem infohibur atau upholsteri kulit,” tegasnya.

“Pengesanan Titik Buta (BSD) adalah faktor pemberat kritikal dalam kategori Keselamatan Penunggang Motosikal kami. Penyingkirannya, bersama bantuan canggih yang lain, telah melucutkan mata yang sebelum ini memberikan X90 penarafan tahap tertinggi. Keselamatan mestilah menjadi keutamaan yang boleh diakses oleh semua, bukannya satu kemewahan. ASEAN NCAP akan terus memantau semua pengeluar yang telah dinilai; kami tidak akan teragak- agak untuk menarik balik penarafan mana-mana jenama yang mengkompromi keselamatan kenderaan selepas penilaian dibuat,” kata Ts. Yahaya Ahmad, Ketua Teknikal ASEAN NCAP pula.

Proton X90 MC1 yang dilancarkan minggu lalu menerima tingkat taraf enjin lebih berkuasa 1.5 liter empat silinder turbo bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder dengan sistem hibrid ringkas 48V sebelumnya. Proton turut mengubah strategi untuk memasarkan X90 dengan menurunkan harganya hampir RM30k lebih murah di mana varian Lite boleh dibeli pada harga bermula RM99,800 (dengan rebat), namun ia terpaksa mengorbankan beberapa perincian termasuk sistem ADAS.

Walau bagaimanapun, ketika pelancaran model X90 2026 tersebut Proton tidak mendakwa dan menyatakan dalam mana-mana bahan pemasaran seperti dalam brosur rasmi dan sebagainya bahawa model berkenaan masih menerima penarafan 5-Bintang dari ASEAN NCAP. Ini bukan kali pertama Proton mengambil strategi yang serupa, di mana pada 2017 syarikat tersebut telah melancarkan model kemaskini Proton Exora dengan mengurangkan beg udara sisi, dan perincian tersebut terus tidak ditawarkan semula sehingga MPV berkenaan ditamatkan pengeluarannya pada Oktober 2023.

The post Proton X90 MC1 2026 – penarafan 5-bintang ASEAN NCAP ditarik, turun ke 1-bintang kerana tiada ADAS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts