Sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu hadapan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.3 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak iaitu 18 hingga 20 dan 27 hingga 29 Mac 2026.
Di mana angka tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 21% berbanding purata trafik harian biasa. Trend ini selari dengan peningkatan trafik yang dicatatkan semasa perayaan Tahun Baharu Cina yang lalu, di mana jumlah kenderaan waktu puncak sehari melebihi dua juta.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, “PLUS mengambil tiga pendekatan utama sebagai persedian menghadapi peningkatan trafik di lebuhraya kendaliannya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini iaitu pengurusan trafik dan insiden yang lebih efisien, pengagihan trafik yang lebih optimum dan keselesaan pengguna bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa.”
Tambah beliau, pihaknya akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 34 lokasi utama sepanjang Lebuhraya PLUS termasuk dua lokasi baharu yang diaktifkan berbanding cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Pengaktifan Smartl Lane boleh dikenal pasti menerusi papan tanda peringatan serta lampu hijau berkelip yang dipasang di lokasi terbabit. Walau bagaimanapun, waktu pengaktifan Smart lane di lokasi bergantung kepada kesesuaian keadaan trafik semasa.
Bagi membantu menambah kapasiti lorong di zon projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor, laluan tambahan ke tiga lorong sepanjang kira-kira tiga kilometer akan dibuka di antara Simpang Renggam ke Sedenak di KM45.1 hingga KM42.5 (arah selatan) mulai 18 Mac hingga 5 April 2026. Ia bertujuan untuk melancarkan perjalanan orang ramai ketika melalui zon projek pelebaran lebuhraya tersebut.
Di samping itu, PLUS juga akan memastikan tiada penutupan lorong di semua laluan lebuh raya termasuk di lokasi Projek Pelebaran Lorong di Johor sepanjang musim perayaan yang akan datang untuk membantu melancarkan lagi perjalanan orang ramai. Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan bagi kerja-kerja pembaikan kritikal, kecemasan dan pengalihan kemalangan.
“PLUS turut mempertingkatkan pemantauan trafik secara berterusan dan koordinasi bantuan kepada pengguna melalui Pusat Pemantauan Trafik. Rondaan oleh pasukan PLUSRonda dan LPT2Ronda yang bertugas 24-jam sehari turut ditambah. Petugas-petugas Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) turut bersedia di sembilan lokasi strategik bagi memberi bantuan keemasan dan menangani sebarang insiden dengan lebih pantas,” kata PLUS lagi yang menugaskan lebuh 6,000 kakitangannya bagi memastikan operasi dan penelenggaraan lebuhraya berjalan dengan lancar.
Selain itu, PLUS turut melaksanakan penambahbaikan kemudahan lebih daripada 60 lokasi di kawasan R&R, hentian sebelah dan plaza tol di seluruh rangkaian lebuh rayanya. Sebanyak 25 tandas kabin turut disediakan di plaza tol dan hentian sebelah terpilih bagi meningkatkan keselesaan pengguna sepanjang musim perayaan. Sebagai alternatif, orang ramai juga boleh menggunakan kemudahan tandas dan surau yang turut disediakan di plaza-plaza tol.
Bukan itu sahaja, PLUS turut menyediakan lebih 100 ruang kecemasan (emergency bay) yang ditempatkan di lokasi-lokasi strategik sepanjang lebuhraya. Kemudahan ini berfungsi sebagai ruang kecemasan sekiranya berlaku sebarang insiden atau situasi luar jangka bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan pengguna.
PLUS turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal, mengikuti cadangan waktu perjalanan MyPLUS-TTA di antara 18 hingga 30 Mac, memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan dan memandu dengan berhemah. Selain itu, patuhi undang-undang lalu lintas dengan meletakkan kenderaan di ruang parkir yang disediakan apabila berhenti di R&R, plaza tol dan hentian sebelah bagi mengurangkan gangguan kelancaran lalu lintas.
The post PLUS aktifkan 34 lokasi Smart Lane sempena Aidilfitri; dijangka 2.3j kenderaan sehari antara 18-20, 27-29 Mac appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















