Omoda | Jaecoo Malaysia menerusi laman media sosial rasminya telah pun mengesahkan bahawa SUV paling kecil dalam barisan modelnya iaitu Jaecoo J5 bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada minggu hadapan, 5 Mac 2026.
Model ini telah membuat penampilan pertamanya di Malaysia pada Ogos tahun lalu, dan ketika itu ia diumumkan bakal dijual pada harga sekitar RM120,000. Namun menerusi satu lagi pengumuman yang dibuat awal bulan ini, Omoda | Jaecoo menyatakan bahawa harga anggarannya akan ditawarkan lebih rendah iaitu sekitar RM110,000.
Malah ia juga turut ditawarkan dengan pakej “super early bird” bernilai sehingga RM8,888 untuk pelanggan yang membuat tempahan awal. Pakej ini merangkumi rebat tunai “angpow” sebanyak RM3,888, insurans percuma untuk tahun pertama bernilai RM3,000 serta pakej aksesori bernilai RM2,000. Aksesori yang ditawarkan termasuk subwoofer dalam kabin, mikrofon karaoke tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi.
Jaecoo J5 ini berkongsi platform yang sama dengan Chery Tiggo Cross, dihasilkan dengan panjang 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm, dan juga jarak roda 2,620 mm. Jadi ia akan berhadapan terus dengan model-model SUV segmen-B seperti Proton X50 dan Honda HR-V, menampilkan panjang yang sama seperti X50, tetapi 65 mm lebih lebar, 41 mm lebih tinggi serta jarak roda 20 mm lebih jauh berbanding SUV dari Proton tersebut.
Dari segi rupa, J5 masih nampak seperti abangnya iaitu SUV segmen-C Jaecoo J7 tetapi dalam skala yang lebih kecil. Ia termasuk menampilkan gril hadapan ‘jailbar’ besar serta diberikan lampu hadapan LED nipis dengan jalur LED lampu nyalaan siang bina dalam, bentuk bayang badan dan cermin tingkap dan juga lampu LED belakang nipis yang diinspirasikan dari rekaan SUV British iaitu Range Rover.
Namun J5 diberikan pembuka pintu konvensional, berbanding jenis tenggelam yang diberikan pda J7. Model pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan set rim aloi berdiameter 18-inci, dibalut dengan tayar bersaiz 235/55R18.
Berbanding pasaran Thailand yang menerima J5 ini dalam versi elektrik penuh (EV) dan telah dilancarkan di sana tahun lalu, Jaecoo J5 untuk pasaran Malaysia disahkan menerima enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 147 PS dan tork maksima 210, angka yang sama dicatatkan pada enjin Chery Tiggo Cross 1.5T.
Namun berbanding Tiggo Cross yang diberikan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, Jaecoo J5 ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik bagi memacu roda hadapan. Gandingan ini membolehkan J5 pasaran Malaysia ini mencapai penggunaan bahan api 7.5 liter untuk perjalanan 100 km menerusi kitaran ujian ketat WLTC.
Tidak seperti kebanyakkan SUV segmen-B yang menampilkan suspensi jenis torsion beam yang lebih ringkas di belakang, Jaecoo J5 ini menerima suspensi bebas multilink yang lebih jitu.
Pada sebelah dalam, J5 menampilkan papan pemuka yang direka minimalis menampilkan hanya berapa butang kawalan fizikal. Papan pemuka berkenaan diberikan satu panel hitam berkilat mendatar yang ‘menyembunyikan’ liang penghembus udara dan juga skrin LCD 8-inci untuk paparan instrumen digital sekiranya ia tidak dihidupkan.
Ia juga diberikan skrin sesentuh 2K untuk sistem infotainmen bersaiz 13.2-inci yang diletakkan secara menegak bersama WiFi bina-dalam, dihubungkan kepada sistem audio dengan lapan-pembesar suara. Model pasaran Malaysia ini juga disahkan menerima bumbung kaca panaromik sebesar 1.45 ㎡ didakwa terbesar dalam kelasnya, serta merangkumi hampir sepenuhnya bahagian bumbung SUV ini.
Selain itu, kabin J5 pasaran Malaysia ini akan menerima upholsteri kulit tiruan berwarna hitam yang didakwa ‘mesra haiwan peliharaan’. Manakala untuk but, ia menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 480 liter, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,180 liter jika tempat duduk belakang dilipat (boleh dipisah dengan nisbah 60/40) sepenuhhnya.
Bagi sistem keselamatan, Omoda Jaecoo Malaysia cuma mengesahkan bahawa J5 pasaran tempatan ini bakal dilengkapi dengan sistem kamera pemantau 540-darjah serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) 2.5 – jadi boleh dijangka ia akan menerima fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan pengekal lorong dan lain-lain.
Berminat? Kalau nak tahu harga sebenar Jaecoo J5 ini jangan lupa terus bersama kami sehingga pelancaran rasminya minggu hadapan.
GALERI: Jaecoo J5 yang dipertonton di Malaysia
The post Jaecoo J5 akan dilancarkan di Malaysia 5 Mac ini – anggaran RM110k, lawan X50 & HR-V, 1.5L Turbo, CVT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.







































































































































