Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah trafik di lebuhraya utama seawal hari Jumaat, 13 Februari 2026 bagi pengguna lebuhraya yang menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur. Di mana dijangkakan jumlah trafik yang menggunakan lebuhraya utama dan lebuhraya sambungan ke lebuhraya utama mampu mencapai 3.27 juta kenderaan pada hari puncak sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Lebuhraya utama yang dikendalikan oleh PLUS Malaysia dijangka menampung jumlah trafik terbesar sepanjang musim perayaan dengan kira-kira 2.2 juta kenderaan, diikuti oleh Lebuhraya Karak (210,000 kenderaan), Lebuhraya Pantai Timur (90,000 bagi Fasa 1, 40,000 bagi Fasa 2) serta Lebuhraya Pantai Barat (160,000 kenderaan). Sementara itu, lebuhraya penghubung seperti DUKE, LATAR dan LEKAS yang menghala ke lebuhraya utama diunjurkan mencatatkan jumlah trafik masing-masing sebanyak 275,000, 145,000 dan 150,000 kenderaan.

Bagi berhadapan dengan peningkatan trafik, LLM telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuhraya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuhraya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan. Antara langkah-langkah proaktif yang telah diambil adalah memastikan tiada penutupan lorong oleh syarikat konsesi lebuhraya kecuali bagi kerja kecemasan bermula 12 hingga 23 Februari 2026.

3.27 juta kenderaan dijangka berada di lebuhraya utama menjelang Tahun Baharu Cina 2026 – LLM

PLUS juga diarahkan untuk mengaktifkan laluan SmartLane di 32 lokasi yang telah dikenalpasti di lebuhraya kendaliannya. Selain itu, LLM turut mengarahkan syarikat konsesi lebuhraya untuk memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain melaksanakan kutipan tol berlapis di beberapa plaza tol yang dikenalpasti mempunyai trafik yang tinggi.

Bukan itu sahaja, syarikat konsesi lebuhraya perlu memastikan pengoperasian lebuhraya dalam keadaan terbaik dan semua kemudahan dapat berfungsi sepanjang tempoh tersebut terutamanya di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.

3.27 juta kenderaan dijangka berada di lebuhraya utama menjelang Tahun Baharu Cina 2026 – LLM

LLM turut menasihati pengguna lebuhraya supaya merancang perjalanan dengan merujuk kepada TuJu Highway Navigation App LLM dan travel time advisory (TTA) bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL – Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

Pengguna lebuhraya juga disarankan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mempunyai baki yang mencukupi dalam akaun Touch ‘n Go (kad atau eDompet) serta kad debit (diskaun tol sebanyak 50% di lebuhraya pada 14 hingga 15 Februari kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya PLUS dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya LINKEDUA), dan memberi perhatian kepada zon SmartLane. Sekiranya hujan, sebanyak 571 lokasi teduhan khas yang disediakan untuk penunggang motosikal di sepanjang lebuhraya. Apa pun, sila amalkan pemanduan berhemah dan selamat.

The post 3.27 juta kenderaan dijangka berada di lebuhraya utama menjelang Tahun Baharu Cina 2026 – LLM appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts