Susulan pengenalan GiCheck bulan lalu, Puspakom kini telah melancarkan aplikasi mobiliti bagi sistem tempahan pemeriksaan kenderaan. Langkah ini melengkapkan pelaksanaan ekosistem tempahan digital baharu syarikat tersebut menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.

“Aplikasi mudah alih ini merupakan perkembangan terkini dalam transformasi #MacamBaharu Puspakom yang sedang berjalan, dengan fokus untuk meningkatkan pengalaman pelanggan melalui ketepatan, kejelasan dan kecekapan operasi yang lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman.

Tambah beliau, laman web GiCheck yang dilancarkan pada Januari 2026 telah meletakkan asas kepada sistem tempahan yang lebih stabil dan tepat. “Aplikasi mudah alih ini kini memperluaskan keupayaan tersebut kepada pelanggan yang lebih gemar menggunakan peranti mudah alih, sambil mengekalkan integriti data dan piawaian pemeriksaan yang sama,”katanya lagi.

Boleh dimuat turun melalui Apple App Store (iOS) atau Google Play Store (Android), aplikasi GiCheck menggantikan aplikasi MyPuspakom sebelum ini dan berfungsi sebagai lanjutan kepada laman web GiCheck. Mahmood menjelaskan bahawa aplikasi baharu ini menangani isu lama yang sering dihadapi pelanggan, khususnya kesilapan tempahan akibat kemasukan data secara manual dan kekeliruan mengenai kelayakan pemeriksaan.

“Melalui integrasi langsung dengan platform mySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), GiCheck membolehkan maklumat kenderaan diperoleh dengan lebih tepat, sekali gus membantu pelanggan menyemak kelayakan pemeriksaan serta dokumen yang diperlukan lebih awal dalam proses tempahan,” katanya. Ini dapat mengurangkan kegagalan tempahan, penolakan pemeriksaan dan lawatan ulangan yang tidak perlu, di samping menyokong operasi yang lebih lancar di pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh negara.

The post Puspakom lancar aplikasi mobiliti baharu ‘GiCheck’ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts