Toyota Yaris Cross dikesan sudah berada di Malaysia, sekaligus mencetuskan spekulasi bahawa pelancaran rasminya bakal berlangsung dalam tahun ini. Menerusi beberapa foto yang tular di pelbagai kumpulan WhatsApp, kelihatan beberapa unit SUV segmen B itu sedang diuji dengan masih memakai pelekat penyamaran ketika melalui jalan menuju ke Genting Highlands.
Yaris Cross membuat kemunculan sulung peringkat ASEAN di Indonesia pada Mei 2023. Model ini dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture dan mempunyai kembar rapat di pasaran tempatan iaitu Perodua Traz, yang telah mula dijual pada Disember tahun lalu.
Dari segi rekaan dan saiz, kedua-dua model ini sangat mirip kecuali pada bahagian wajah hadapan dan belakang. Dimensinya juga hampir sama, dengan panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm serta jarak roda 2,620 mm. Perbezaan kecil dapat dilihat pada ketinggian, di mana Traz sedikit lebih tinggi pada 1,655 mm berbanding Yaris Cross setinggi 1,615 mm.
Bagi pasaran tempatan, Perodua Traz ditawarkan dengan satu pilihan penggerak sahaja iaitu enjin petrol 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA. Enjin ini menghasilkan kuasa 106 PS atau 78 kW serta tork 138 Nm dan digandingkan dengan transmisi D-CVT yang memacu roda hadapan.
Sebaliknya, Toyota Yaris Cross menawarkan pilihan yang lebih luas bergantung kepada pasaran. Di Indonesia, ia ditawarkan sama ada dengan enjin 2NR-VE yang sama seperti Traz atau versi hibrid. Sistem hibrid tersebut menggunakan enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA yang beroperasi menggunakan kitaran Atkinson.
Enjin ini menghasilkan kuasa 91 PS atau 67 kW serta tork 121 Nm dan dipadankan dengan transmisi CVT. Ia dibantu oleh motor elektrik berkuasa 80 PS atau 59 kW dengan tork 141 Nm, menjadikan jumlah output sistem keseluruhan sebanyak 111 PS atau 82 kW.
Untuk pasaran Thailand pula, Yaris Cross hanya ditawarkan dalam versi hibrid. Sistem ini menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 4.3 Ah dan mencatatkan penggunaan bahan api yang dinilai pada 26.3 km seliter. Versi hibrid ini juga dilengkapi tangki bahan api yang lebih kecil berkapasiti 36 liter, berbanding 42 liter untuk versi enjin NA.
Seperti mana pendekatan Toyota terhadap model Veloz dan Alza, Yaris Cross dijangka diposisikan sebagai pilihan yang lebih premium berbanding Perodua Traz. Harga yang lebih tinggi berkemungkinan disertai dengan penambahan ciri-ciri kelengkapan serta penawaran trenkuasa hibrid, sejajar dengan strategi elektrifikasi UMW Toyota Motor (UMWT). Ini selari dengan pelancaran Vios Hybrid baru-baru ini yang menggunakan sistem hibrid sama seperti Yaris Cross.
Buat masa ini, UMWT masih belum memberi sebarang bayangan rasmi mengenai kehadiran Yaris Cross di Malaysia. Namun, penampakan unit ujian dengan penyamaran ini memberi petunjuk jelas bahawa persiapan ke arah pelancaran sedang giat dijalankan.
The post Toyota Yaris Cross dijumpai naik Genting – kembar Perodua Traz dengan enjin hibrid akan dilancar? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















