Proton baru sahaja mengumumkan kejayaan Saga yang berjaya mencatatkan jualan bulanan tertinggi dalam sejarah iaitu 10,285 unit yang dicatatkan pada bulan lalu. Dan untuk itu, Proton akan mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan tersebut di semua bilik pamerannya di seluruh negara pada hujung minggu ini iaitu pada 7 hingga 8 Februari 2026. Dan apa yang menarik, Proton turut akan mendedahkan S70 MC 2026 di semua bilik pameran yang mengadakan majlis tersebut untuk tontonan orang ramai!

Seperti yang sudah disahkan sebelum ini, S70 MC 2026 ini akan menerima enjin 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm seperti yang telahpun diberikan pada X50 facelift yang dilancarkan pada Julai 2025 dan juga X70 MC3 yang dilancarkan bulan lalu.

Enjin tersebut masih akan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT. Selain dari menghasilkan kuasa yang lebih besar (berbanding 150 PS/226 Nm pada enjin 1.5 liter Turbo PFI tiga-silinder sedia ada), serta memberikan penggunaan bahan api lebih efisien, enjin baharu ini juga menggunakan sistem timing chain yang lebih mudah diselenggara berbanding timing belt.

Dijangkakan S70 MC 2026 ini tidak akan menampilkan perubahan yang besar dari segi rupa. Seperti yang telah tertiris sebelum ini, ia bakal menerima warna badan baharu iaitu Ruby Red (mungkin menggantikan warna Passion Red sedia ada) dan juga lampu hadapan baharu yang sama seperti Geely Emgrand facelift yang diperkenalkan pada 2024.

Malah pada imej teaser yang disiarkan oleh Proton ini, S70 nampaknya bakal menerima spoiler but belakang baharu, di mana komponen tersebut tidak diberikan pada kit badan asli pada model sedia ada.

The post Proton S70 2026 akan didedah di bilik pameran hujung minggu ini; enjin i-GT 1.5T 4-silinder, ada spoiler but appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts