Biarpun harus berhadapan dengan persaingan sengit dalam industri automotif tempatan, namun Chery Corporate Malaysia tetap gigih memacu langkah lebih gemilang bagi memastikan ia kian berkembang. Untuk tahun 2026, syarikat ini telah menyusun pelbagai rancangan dan strategi bagi mengekalkan kedudukannya di sini.
Minggu lalu, bagi membuka tirainya untuk 2026, Chery Corporate Malaysia telah melancarkan varian baharu untuk Chery Tiggo 8, iaitu varian paling asas untuk SUV tujuh-tempat duduk keluarannya. Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM129,800, jauh lebih mampu milik berbanding dua varian lebih tinggi iaitu Chery Tiggo 8 Pro dan Chery Tiggo 8 PHEV di mana kedua-duanya dijual pada harga RM159,800.
Menerusi majlis bersama pihak media malam ini, Chery Malaysia telah mengesahkan bakal melancarkan model flagship mewah pada suku kedua (Q2) tahun ini. Ada kemungkinan ia merujuk kepada model Tiggo 9, di mana Chery sendiri pernah mengesahkan bahawa model tersebut bakal diperkenalkan di sini pada separuh pertama 2026.
Tiggo 9 ini diberikan enjin yang sama dengan Tiggo 8 Pro iaitu 2.0 liter turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 254 PS/390 Nm, dipadankan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan. Ia juga telah dipertontonkan di Bangkok Motor Show tahun lalu dengan penjana kuasa plug-in Chery Super Hybrid (CSH).
Ia menggunakan dua motor elektrik di hadapan, satu ya dengan 102 PS dan 170 Nm, dan satu lagi dengan 122 PS dan 220 Nm. Dipadankan bersama enjin 1.5 liter turbo empat-silinder 156 PS/220 Nm, ia mampu memberikan keseluruhan kuasa mencecah 381 PS dan 610 NM, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.9 saat. Kami menjangkakan kedua-dua versi akan ditawarkan di Malaysia, namun model PHEV mungkin akan dilancarkan hujung tahun.
Untuk model lain yang bakal diperkenalkan untuk tahun ini agak samar-samar. Namun apa yang kami tahu model facelift kedua O5 (Omoda 5) bakal tiba tahun ini, dan mungkin juga Omoda 4 yang lebih kecil. Walau bagaimana pun, ada khabar angin menyatakan bahawa model ini akan diletakkan di bawah jenama Omoda & Jaecoo, menyertai Omoda C9.
Model facelift lain yang mungkin diperkenalkan Tiggo 7 Pro versi enjin petrol kerana sudah tiba masanya ia diberikan suntikan yang lebih segar selepas dilancarkan tahun 2024. Kita mungkin akan mengetahui kesahihannya menerusi Auto China Beijing yang bakal berlangsung pada April ini.
Bagi barisan CSH di Malaysia, Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV masih baru saja dilancarkan, jadi macam belum tiba masanya menerima naiktaraf baharu. Atau mungkinkah Tiggo 9 CSH PHEV dimaksudkan, seperti yang pernah dikhabarkan sebelum ini.
The post Chery M’sia dedah rancangan 2026 – Tiggo 9 pada Q2, beberapa model facelift dan kemaskini CSH pada Q4 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















