Selepas dipertontonkan dan tempahannya dibuka tahun lalu, hari ini secara rasmi MPV mewah tujuh tempat duduk iaitu GWM Wey G9 dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Model ini ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dengan produksi dibuat di kilang EPMB di Pegoh Melaka, hanya satu varian dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM269,800.
Setiap pembelian MPV ini akan dilindungi oleh waranti pengeluar selama enam-tahun tanpa had perbatuan, serta 8 tahun atau 180,000 km waranti untuk sistem hibrid, termasuklah perlindungan untuk pek bateri, motor kuasa, dan unit kawalan.
Selain itu pembeli juga akan menerima manfaat pemilikan standard yang terdiri dari lima tahun perkhidmatan data sambungan percuma, lima tahun penyelenggaraan percuma dan juga pengecas dinding rumah percuma. Sempena pelancarannya hari ini, GWM Malaysia menawarkan skrin untuk kabin belakang bersaiz 17.3-inci secara percuma untuk 1,000 pelanggan terawal. Malah untuk pemilik model-model GWM lain, anda turut akan diberikan rebat sebanyak RM3,000 sekiranya membeli Wey G9 ini.
Bagi yang masih belum tahun ‘Wey’ adalah divisi mewah untuk GWM sebagaimana jenama Lexus untuk Toyota, di mana nama ‘Wey’ itu diambil dari nama pengasas GWM sendiri ini Jack Wey. Malaysia menerima G9 dalam versi tujuh-tempat duduk dan jarak roda pendek, dihasilkan dengan dimensi panjang 5,050 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,900 mm dan jarak roda sejauh 3,085 mm.
Jadi jika dibandingkan dengan MPV mewah ikonik di Malaysia iaitu Toyota Alphard, Wey G9 ini adalah 35 mm lebih panjang, 110 mm lebih lebar, 50 mm lebih rendah, dan jarak roda 85 mm lebih jauh. Walau bagaimanapun sekiranya dibandingkan dengan saingan-saingan senegaranya seperti Zeekr 009, Xpeng X9 dan Denza D9, Wey G9 ini adalah antara yang paling pendek kerana masing-masing mempunyai panjang melebihi 5.2 meter serta jarak roda antara 3.1 hingga 3.2 meter.
Satu-satunya varian untuk pasaran Malaysia ini menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) Hi4 yang menggandingkan enjin 1.5 liter empar-silinder turbo berkuasa 150 PS bermula 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 240 1,800 hingga 4,000 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 109 PS/170 yang dipadankan pada kotak gear khusus hibrid DHT empat-kelajuan untuk memacu roda hadapan, serta satu lagi motor elektrik 184 PS/232 Nm untuk memacu roda belakang.
Ini memberikan kebolehan pacuan semua roda pada MPV ini, dengan bekalan kuasa keseluruhan 442 PS/642 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j. Agihan tork antara gandar hadapan dan belakang pula dikawal oleh Intelligent Torque Vectoring Control (iTVC). Kami difahamkan model CKD Melaka yang turut dieksport ke Thailand diberikan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model pasaran Malaysia ini.
Sistem ini memberikan tiga mod kuasa yang boleh dipilih oleh pemandu iaitu mod EV, EV Priority dan Intelligent HEV. Manakala untuk mod pemanduan pula boleh dipilih dalam lima pilihan iaitu Eco, Normal, Sport, Snow dan AWD.
Motor-motor elektrik pada unit rangkaian kuasa PHEV Hi4 ini menerima bekalan kuasa dari bateri NMC berkapasiti 44.2 kWj. Ini membolehkan MPV ini bergerak dengan hanya kuasa elektrik sejauh 145 km mengikut kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 58 liter (RM115.42 sekiranya menggunakan insentif Budi RON95) membolehkan ia bergerak dalam jarak pemanduan keseluruhan dianggarkan sekitar 1,000 km, atau ia menggunakan sekitar 1.2 liter petrol bagi setiap perjalanan 100 km.
Dengan sistem PHEV ini juga membolehkan bateri pada Wey G9 dicas semula seperti sebuah kenderaan elektrik (EV) sebenar. Ia menyokong sistem pengecas AC berkapasiti 6.6 kWj bagi membolehkan cas antara 15% hingga 100% dipenuhkan dalam masa 6.5 jam, manakala dengan pengecas pantas DC cas dari 30% hingga 80% dapat dipenuhkan dalam masa sekitar 26 minit. Ia juga datang dengan sistem Vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW bagi membolehkan pelbagai peralatan elektrik digunakan.
Casis MPV ini menampilkan konfigurasi suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan suspensi bebas jenis multilink di belakang. Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan penyerap hentak adaptif Frequency Response Damper (FRD).
Untuk kelengkapan luaran, model pasaran Malaysia ini datang dengan lampu hadapan LED automatik dengan fungsi lampu tinggi automatik, lampu nyalaan siang LED bina-dalam, lampu belakang LED, rim aloi dua tona 18 inci bersama tayar 245/50R18, bumbung suria hadapan, bumbung panaromik kabin belakang, pengelap cermin belakang tersembunyi dan pintu tailgate bantuan kuasa.
Manakala dalam kabin, Wey G9 pasaran Malaysia ini diberikan lampu suasana kabin 64 warna, pengecas tanpa wayar 50W, upholsteri kulit Nappa, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi aliran udara, memori dan urutan untuk pemandu, tempat duduk kapten ‘graviti sifar’ pada baris kedua yang boleh direbahkan secara satu sentuhan yang lengkap dengan penyokong kaki serta diberikan meja boleh lipat di belakang tempat duduk hadapan, peti sejuk 12.5 liter untuk kabin belakang yang boleh sentiasa berfungsi walaupun enjin dimatikan, 11-point pengecas dan juga pintu tailgate bantuan kuasa.
Pemandu akan menerima paparan instrumen digital dengan 12.3 inci serta paparan head-up. Manakala untuk sistem infotainmen, sebuah skrin sesentuh bersaiz 14.6-inci dibekalkan pada papan pemuka, satu lagi monitor bersaiz 17.3-inci diletakkan pada kabin belakang (percuma untuk 1,000 pelanggan pertama), menerima sokongan hubungan ke telefon pintar menerusi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan bunyi dikeluarkan menerusi sistem audio 2,440-watt dengan 21-pembesar suara.
Kabin Wey G9 ini juga menerima penebat berstruktur, teknologi pembatalan bunyi aktif HALOSonic dan juga cermin akustik dengan dua lapisan tebal membolehkan kabinnya sentiasa senyap dengan bunyi diukur hanya pada kadar 63.4 desibel pada kelajuan 120 kilometer sejam di atas lebuh raya.
Untuk keselamatan pula, Wey G9 ini hadir dengan enam beg udara, kamera 360 darjah serta sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, brek automatik ketika parkir, pemantau titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran bukaan pintu dan kawalan menuruni bukit.
Enam warna badan ditawarkan untuk GWM Wey G9 pasaran Malaysia ini iaitu Aurora White, Wisdom Grey dan Nebula Black. Manakala kabinnya pula boleh dipilih dalam dua tema warna iaitu upholsteri hitam dengan bumbung kelabu atau upholsteri coklat dan bumbung kelabu.
GALERI: Gambar rasmi GWM Wey G9 Hi4 PHEV pasaran Malaysia
The post GWM Wey G9 Hi4 PHEV dilancar di Malaysia – MPV 7-tempat duduk, RM269,800, 442 PS/642 Nm, CKD appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















































































































































