Ketika pelancaran Volvo ES90 hari ini, Volvo Car Malaysia (VCM) turut memperkenalkan Selamat, yang telah menjadi teras sepanjang kempen teaser model sedan elektrik itu sejak beberapa ketika. Perkataan “Selamat” telah terpampang juga di pelekat samaran unit ujian yang dilihat di KL minggu lalu, serta kata itu digunakan dalam kempen papan tanda iklan serta iklan dalam talian.
VCM menjelaskan, di Malaysia “Selamat” mempunyai dua maksud. Selain sebagai ucapan (seperti selamat pagi dan selamat jalan), ia juga membawa maksud “safety”. Dan, Volvo memang sangat sinonim dengan keselamatan sejak sekian lama.
“EV di Malaysia bertumbuh pantas. Banyak jenama baru masuk ke pasaran, dan semuanya tampil menyatakan produk mereka yang paling selamat dengan cara tersendiri. Dalam keadaan di mana semua melaungkan slogan paling selamat, aspek keselamatan akhirnya hanya menjadi seperti satu ciri biasa, sesuatu yang selalu diperkatakan tetapi jarang dirasakan,” jelas Pengarah Pemasaran dan Jualan VCM, Patricia Yaw.
“Bagi Volvo, keselamatan tidak pernah hanya sekadar kata-kata. Selamat mencerminkan keyakinan kami bahawa kemajuan yang sebenar adalah ketika memberikan keyakinan dan ketenangan dalam setiap perjalanan. Dengan mobiliti yang terus berkembang, Selamat akan memastikan yang kehidupan manusia sentiasa menjadi keutamaan,” tambahnya.
VCM juga menyatakan, Selamat merupakan kempen bertema yang akan berlangsung sepanjang tahun 2026, yang direka untuk mengubah keselamatan jalan raya daripada mandat wajib menjadi sebuah budaya yang dikongsi bersama. Akan diadakan acara pengaktifan di lokasi serta usaha pendidikan untuk mengetengahkan kepentingan keselamatan dalam sesebuah kenderaan.
Semua itu akan dibangunkan menuju acara Selamat Drive — yang dijangka diadakan pada suku kedua 2026 — iaitu sebuah acara utama yang membolehkan rakyat Malaysia mengalami sendiri kesepaduan antara tabiat pemanduan selamat dan teknologi keselamatan oleh Volvo dalam persekitaran sebenar.
Berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 4,428 kematian berkaitan pengengkutan direkodkan di Malaysia pada 2024.
The post Volvo perkenal jenama baru Selamat — <em>teaser</em> ES90 jadi sebahagian kempen keselamatan sepanjang tahun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















