Van Toyota Hiace generasi kelima dengan kod casis H200 sudahpun lebih 20 tahun dalam pasaran, dan ia masih dijual di Jepun dan banyak lagi pasaran lain walaupun model generasi ke-enam iaitu Hiace H300 telah pun muncul dalam pasaran pada 2019. Namun sehingga kini tiada tanda-tanda produksi H200 ini akan dihentikan kerana di Jepun ia diberikan satu lagi facelift untuk 2026!
Untuk kemaskini terbaharu Hiace H200 JDM ini menerima lampu hadapan bi-LED baharu yang lebih moden. Bampar dan juga gril hadapan masih lagi nampak sama, cuma lampu kabus telah ditukar dengan unit LED yang lebih kecil dan diberikan perumah yang nampak seiras dengan lampu kabus dari trak pikap Hilux. Lain-lain perincian luaran masih lagi nampak sama.
Manakala pada sebelah dalam, H200 JDM ini menerima beberapa tingkat taraf dari segi perincian bermula dengan unit infotainmen dengan skrin sesentuh 8-inci baharu yang disokong oleh Apple CarPlay dan Android Auto, kamera 360-darjah, paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 7-inci, panel kawalan penghawa dingin baharu, roda stereng baharu, dua port USB-C serta tempat duduk hadapan baharu dengan fungsi pemanas.
H200 JDM ini sudah pun menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense (TSS) bermula pada versi kemaskini 2020. Bagi model 2026 ini sistem TSS tersebut dipertingkat untuk berfungsi dengan lebih baik, antaranya dengan penambahan brek kecemasan automatik yang kini turut boleh mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal, pengesan pelanggaran berhadapan di persimpangan, cruise control adaptif dan juga pengenal tanda trafik.
Seperti biasa Hiace H200 di Jepun ditawarkan dalam tiga bentuk badan iaitu badan Standard, badan Wagon dengan bumbung lebih tinggi dan juga badan Commuter yang lebih lebar. Tiada perubahan dari penawaran unit rangkaian kuasa dan ia terus menerima tiga pilihan enjin iaitu turbodiesel 2.8 liter 1GD-FTV, petrol 2.7 liter 2TR-FE Dual VVT-i, dan juga petrol 2.0 liter 1TR-FE.
Enjin-enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, dengan pilihan sama ada pacuan roda belakang atau dengan sistem 4WD. Model kemaskini ini akan mula dijual pada pasaran Jepun bermula 2 Februari 2026.
The post Toyota Hiace H200 <em>facelift</em> 2026 diperkenal di Jepun – lampu bi-LED, meter digital, TSS dipertingkat, dll appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











































