BHPetrol telah melancarkan wajah baharu BHPetromart serta kios eNak yang berada di dalam stesen minyak tersebut dengan menyajikan kopi, pastri dan makanan sedia dimakan, sekali gus memberi pelanggan pilihan tambahan untuk alas perut ketika berhenti mengisi minyak kenderaan atau berehat.
Dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Azizul Azily Ahmad, majlis pelancaran tersebut telah berlangsung pada hujung minggu lalu di BHPetrol Kg Sungai Kayu Ara (dari Lebuhraya Sprint, sebelum plaza tol NKVE Damansara), salah satu lokasi BHPetrol yang paling menonjol di Lembah Klang.
Reka bentuk baharu BHPetromart ini “menghidupkan semula” kedai serbaneka di dalam stesen dengan penampilan yang lebih moden. Melalui kerjasama strategik antara BHPetrol dan Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), sebuah anak syarikat MARA, wajah baharu ini mencerminkan idea runcit moden, identiti jenama yang kukuh serta pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan. Penggunaan panel kayuan yang ketara memberikan suasana yang lebih kontemporari dan selesa.
Sementara itu, eNak turut ditawarkan di stesen BHPetrol di Lebuhraya Persekutuan, Taman Melawati dan Kg Baharu Puchong, selain di Kayu Ara. BHPetrol merancang untuk membuka lebih 50 kios eNak di seluruh negara dalam tempoh lima tahun. Untuk stesen Kayu Ara, eNak melengkapkan lagi kafe di dalam kedai serbaneka stesen selain Dunkin Donuts. selain turut mempunyai pengecas EV di kawasan hadapan stesen. Selain itu, terdapat juga perkhidmatan cucian kereta di sini.
“Kami ingin menyediakan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan di BHPetrol. Dengan perubahan konsep dan identiti baharu BHPetromart serta penambahan kiosk eNak, BHPetrol komited untuk mengembangkan rangkaian kami di Semenanjung Malaysia bagi memenuhi keperluan komuniti setempat. Ini juga akan mengangkat jenama BHPetrol sebagai jenama tempatan yang setara dengan jenama-jenama besar lain,” kata Azizul.
Selain pembaharuan kedai serbaneka, kami turut melihat adanya petak parkir baharu yang dicat hitam dengan motif bendera dam berwarna oren di kawasan pam. Warna hitam memberikan kontras yang ketara, sekali gus menjadikannya sangat jelas di mana pemandu perlu meletakkan kenderaan ketika mengisi minyak — iaitu di dalam petak yang disediakan.
GALERI: BHPetromart berwajah baharu + kios eNak di BHPetrol Kayu Ara
The post BHPetromart berwajah baharu dan kios eNak dilancarkan – rehat sebentar bersama kopi dan pastri appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























