Volvo Car Malaysia mengesahkan bahawa model sedan elektrik penuh terbaharunya, Volvo ES90, akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan ini. Pengumuman tersebut dibuat menerusi teaser rasmi yang menyatakan ES90 sebagai sebuah kenderaan yang direka untuk keseimbangan antara kerja dan kehidupan, sekaligus menandakan kemunculan sedan elektrik pertama Volvo untuk pasaran tempatan. Pendaftaran minat bagi model ini telah pun dibuka kepada orang ramai.
Setakat ini, Volvo Car Malaysia masih belum mendedahkan butiran terperinci mengenai varian yang bakal ditawarkan serta harga rasmi. Namun begitu, menerusi kenyataan pendaftaran minat, syarikat itu mengumumkan insentif awal sebanyak dua peratus untuk 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan sehingga 31 Mac.
Volvo ES90 akan dipasang secara tempatan atau CKD bermula dari awal, berbeza dengan SUV elektrik Volvo EX90 yang sebelum ini diperkenalkan sebagai model import sepenuhnya atau CBU. Kedua-dua ES90 dan EX90 dibangunkan menggunakan platform Scalable Product Architecture generasi kedua, atau SPA2.
Menariknya, ES90 hadir dengan sistem elektrik 800V sejak awal, sedangkan EX90 hanya dinaik taraf daripada sistem 400V pada September 2025. Dengan seni bina 800V ini, ES90 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW, membolehkan tahap cas bateri meningkat daripada 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 22 minit, atau jarak sekitar 300 km dengan hanya 10 minit pengecasan.
Bagi rangkaian kuasa, varian motor tunggal ES90 menghasilkan kuasa 333 PS atau 245 kW dengan tork 480 Nm. Ia menggunakan bateri NMC berkapasiti 92 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 651 km mengikut piawaian WLTP, serta pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.6 saat.
Turut ditawarkan ialah varian dua motor dengan kuasa 449 PS dan tork 670 Nm yang mampu memecut ke 100 km/j dalam 5.5 saat, serta varian dua motor prestasi tinggi dengan kuasa 680 PS dan 870 Nm, yang mencatat masa pecutan 4.0 saat. Kedua-dua varian dua motor ini menggunakan bateri 106 kWh dengan jarak pemanduan sehingga 700 km.
Volvo ES90 juga mencatat sejarah sebagai model pertama jenama itu yang menggunakan sistem pengkomputeran Nvidia Drive AGX Orin. Teknologi ini merupakan sebahagian daripada rangkaian Superset yang mengendalikan fungsi kecerdasan buatan, sistem keselamatan, penderia kenderaan serta pengurusan bateri.
Sebagai rujukan, Volvo ES90 telah dilancarkan di Thailand pada Oktober 2025, di mana hanya satu varian Ultra Motor Tunggal import dari China ditawarkan pada harga 2.99 juta baht, bersamaan sekitar RM388,710. Dengan status pemasangan tempatan di Malaysia, ES90 berpotensi menikmati kelebihan dari segi cukai dan harga, sekali gus meletakkannya dalam kedudukan lebih kompetitif berbanding pesaing seperti BMW i5 dan Mercedes-Benz EQE yang masih diimport sepenuhnya.
GALERI: Volvo ES90
The post Volvo ES90 dalam teaser – lancar di Malaysia bulan ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




























































































































































