Perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge Malaysia untuk musim ke-8 akhirnya akan masuk ke pusingan penentu dengan perlumbaan pusingan terakhir akan berlangsung pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Petronas Sepang. Untuk musim ini, hadiah terkumpul sebanyak RM300,000 disediakan untuk direbut oleh para pelumba.

Bagi pusingan terakhir ini perlumbaan akan diadakan di bahagian separuh Selatan litar tersebut, menampilkan lapan selekoh dengan jarak 2.609 km satu lap. Bagi kategori profesional iaitu Super Sporting, saingan untuk merebut gelaran juara keseluruhan masih terbuka antara pelumba pasukan Prima Pearl SP Selatan iaitu Mitchell Cheah yang kini mengumpul 143 mata dan juga Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota yang mengekori rapat di belakang dengan 135 mata.

“Ini pastinya merupakan hujung minggu yang sangat mustahak. Saya hanya perlu berada di hadapan Cheah. Namun untuk memenangi perlumbaan mungkin agak sukar minggu ini kerana saya membawa beban penalti berat 45kg hingga 50kg,” kata Ang.

Pusingan akhir Vios Challenge musim 8 berlangsung hujung minggu ini – gelaran juara akan ditentukan!

“Pusingan terakhir ini berlangsung di litar Selatann yang menyajikan pelumba dengan laluan lurus paling panjang musim ini, jadi harapnya saya tidak kehilangan banyak masa pada laluan lurus dengan beban berat yang saya bawa,” tambahnya.

Bagi kelas amatur iaitu kategori Sporting pula, kejuaraan semakin hampir menjadi milik Jwan Hi dari pasukan Hong Huat X Armada KK Racing dengan mengumpul 145 mata, meninggalkan Elson Lew dari pasukan BAE Racing by ES Yang yang mengumpul 104 mata. Manakala bagi kategori Rookie, persaingan untuk gelaran juara masih terbuka untuk empat pelumba – buat masa sekarang Rahul Dev masih berada di hadapan dengan 147 mata, diikuti Ian James (143 mata), Aydan Khaliq (138 mata) dan Harkiesh Geeva (137 mata).

“Bermula daripada permulaan sederhana, siri yang menekankan asas persaingan yang adil untuk pelumba, Vios Challenge telah berkembang menjadi salah satu perlumbaan siri satu pusingan yang paling kompetitif di negara ini dan dalam prosesnya menyumbang ke arah mendedahkan dan melatih generasi baharu pemandu muda – yang kebanyakannya berjaya mendaki tangga sukan permotoran ke acara yang lebih kompetitif,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

Pusingan akhir Vios Challenge musim 8 berlangsung hujung minggu ini – gelaran juara akan ditentukan!

“Toyota Gazoo Racing Malaysia melangkaui asas perlumbaan—ia berfungsi sebagai medan pembuktian yang mempengaruhi pembangunan produk masa depan kami. Lebih penting lagi, ia mewujudkan peluang yang tidak wujud sebelum ini, meletakkan asas yang kukuh dan mampan untuk pembangunan bakat, bukan sahaja untuk pemandu, tetapi juga untuk jurutera dan profesional teknikal yang penting untuk masa depan sukan ini,” tambahnya.

TGR Malaysia turut memperkenalkan kategori baharu pada hujung minggu ini iaitu perlumbaan Vios Classic Challenge yang menawarkan hadiah terkumpul RM60,000. Sesi kelayakan dan Race 1 akan berlangsung pada hari Jumaat, 9 Januari 2026, manakala perlumbaan terakhir iaitu Race 2 akan berlangsung pada hari Sabtu, 10 Januari 2026. Perlumbaan ini turut akan disiarkan secara langsung menerusi laman-laman media sosia Toyota Gazoo Racing Malaysia.

The post Pusingan akhir Vios Challenge musim 8 berlangsung hujung minggu ini – gelaran juara akan ditentukan! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts