Proton telah mengumumkan bahawa sebanyak 216 unit eMas 5 telah diserahkan kepada pelanggan sehingga 31 Disember 2025, selepas EV kompak berkenaan dilancarkan pada 30 Oktober lalu. Kesemua unit tersebut telah selamat diterima oleh pemilik masing-masing pada bulan lalu.

Namun masih banyak kerja yang perlu Proton lakukan kerana sehingga kini sebanyak 14,600 unit eMas 5 telah ditempah oleh pelanggan. Proton eMas 5 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM59,800 bagi varian asas Prime, dan RM72,800 untuk varian tertinggi Premium.

Ia juga merupakan model pertama Proton yang ditawarkan sebagai sebuah model pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang, memberikan pengendalian yang menyeronokkan – anda boleh baca ulasan pandu uji kami pada PAUTAN INI.

Untuk varian Premium, motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm, dipacu oleh bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj. Manakala bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj.

Proton eMas 5 – 216 unit dari 14.6k tempahan telah diserah kepada pelanggan; eMas 7 terjual 9,336 unit

Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh, manakala eMas 5 Prime pula kelajuan maksimanya dihadkan pada 125 km/j dan boleh bergerak sejauh 225 km (WLTP) dengan satu cas penuh.

Proton turut memberitahu bahawa sebanyak 9,336 unit eMas 7 telah terjual tahun lalu, di mana 8,677 adalah untuk pelanggan tempatan sementara 659 unit untuk pasaran eksport. Ini bermakna secara keseluruhan sebanyak 9,549 unit model EV Proton eMas telah terjual di seluruh dunia, namun secara majoritinya berada di Malaysia.

“Tahun 2025 menandakan satu permulaan penting bagi Proton eMas, bukan sahaja dari segi pertumbuhan, tetapi juga impak sebenar yang dicipta oleh kenderaan Proton eMas setiap hari,” kata CEO Pro-Net, Zhang Qiang.

“Dengan 9,549 kenderaan eMas kini beroperasi, kita dapat melihat bagaimana pemilik eMas menyumbang kepada udara yang lebih bersih, perjalanan yang lebih tenang dan pengurangan penggunaan bahan api melalui pemanduan harian mereka.

“Melangkah ke tahun 2026, fokus kami tetap untuk memperkukuh permulaan ini dengan meningkatkan pilihan kenderaan elektrik, menguatkan sokongan pengecasan dan perkhidmatan selepas jualan, serta memastikan mobiliti elektrik kekal praktikal, mudah diakses dan memberi manfaat di mana sahaja kenderaan kami beroperasi,” tambahnya lagi.

The post Proton eMas 5 – 216 unit dari 14.6k tempahan telah diserah kepada pelanggan; eMas 7 terjual 9,336 unit appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts