Ada sayap perlumbaan dan prestasi rasmi terpaksa dikorbankan demi untuk satu-satu jenama itu terus bertahan ketika menghadapi krisis kewangan, misalnya Mitsubishi yang terpaksa menutup Ralliart pada 2010. Namun untuk Nissan yang kini dalam fasa untuk memulihkan kembali syarikat itu bersama anak syarikatnya Nissan Motorsports & Customization Co., Ltd. (NMC) akan memperkasakan jenama prestasi dan perlumbaannya iaitu Nismo, sebagai salah satu langkah bagi bangkit semula dalam rancangan penstrukturan semula operasi RE:Nissan.
“Sebagai sebahagian dari strategi produk RE:Nissan, ‘model-model yang menyemarakkan degupan jantung’ adalah penting untuk mencetuskan emosi serta meyerlahkan DNA jenama Nissan. NMC berusaha untuk menyokong perkara ini dengan mengejar prestasi dalam suka permotoran dan keghairahan memandu dalam produk-produk Nismo menerusi inisiatif perniagaan baharu,” kata Nissan dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut Nissan lagi ia akan terus berlumba dalam siri perlumbaan seperti Formula E, Super GT dan Super Taikyu kerana percaya bahawa dengan aktiviti sukan permotoran kelas tinggi berkenaan akan menghasilkan jentera jalan raya Nismo yang baik menerusi motto “Dari jalan raya ke litar, dari litar ke jalan raya”.
Nissan juga akan menggandakan barisan model Nismo dari lima kepada sepuluh, dan ia bukan hanya ditumpukan pada pasaran Jepun, sebaliknya disasarkan untuk pasaran global dengan jumlah pengeluaran yang lebih banyak.
“Nissan juga merancang untuk memperluaskan pasaran untuk kereta-kereta Nismo. Nissan mensasarkan untuk menaikkan jumlah penghantaran dari sekitar 100,000 unit kepada 150,000 unit menjelang 2028, dengan jualan pasaran luar negara naik dari sekitar 40% kepada 60%. Bagi usaha untuk menambah nilai kepada pelanggan, Nissan akan secara aktif mempertimbangkan kerjasama dengan rakan kerjasama luar bagi meluaskan lagi perniagaan barisan kereta-kereta Nismo,” tambah Nissan.
Malah bermula tahun fiskal 2026, Nissan turut merancang untuk memperkenalkan kenderaan-kenderaan prototaip untuk aktiviti perlumbaan bagi memacu kemajuan teknologi dalam pembangunan komponen dan perisian untuk kegunaan kereta lumba serta perluasan barisan model kereta baharu.
Bukan hanya berlumba dan menghasilkan lebih banyak model prestasi, malah perniagaan sedia ada Nismo dalam bidang restorasi serta ubahsuai kereta-kereta lagenda turut akan diteruskan.
“Pasaran restorasi automotif global kini dinilaikan sekitar 500 bilion yen (USD 3.3 bilion) dan ia dijangka meningkat kepada 1.2 trilion yen (USD 7.7 bilion) menjelang 2032. NMC akan meningkatkan perniagaan restorasi, restomod, dan penjualan komponen alat ganti dengan fokus awalan untuk diperkembangkan sekitar model Skyline GT-R R32, R33 dan R34, serta akan diikuti dengan lebih banyak penawaran kenderaan dan kawasan,” kata Nissan lagi.
“Nismo terus meningkatkan keterujaan dan inovasi kenderaan Nissan. Melangkah ke hadapan, kami menyasarkan untuk menerapkan semangat dan keterujaan yang didorong ke dalam rangkaian produk Nissan yang lain,” kata Presiden dan CEO NMC, Yutaka Sanada.
The post Nissan perkuat Nismo untuk pulih dari krisis; terus berlumba, perbanyakkan model prestasi dan restorasi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















