Lexus menghidupkan semula nama LFA, namun buat masa ini hanya sebagai sebuah model konsep. Ia tampil bersama Toyota GR GT dan GR GT3, dan sebenarnya telah pun ditunjukkan lebih awal semasa acara The Quail, A Motorsport Gathering pada Ogos lalu di bawah nama Sport Concept. Walaupun begitu, pendedahan terbaru ini masih belum membawa kepada versi produksi seperti yang dijangkakan.
Model LFA asal terkenal dengan enjin petrol 1LR-GUE V10 4.8 liter tanpa turbo yang dibangunkan bersama Yamaha, menghasilkan bunyi nyaring yang diingati peminat tegarnya. Namun, pengganti baru ini bukan sahaja tidak lagi menggunakan enjin V10 malahan tiada enjin pembakaran dalaman langsung. Ia digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya.
Lexus masih belum mendedahkan butiran teknikal penuh, tetapi menjanjikan tahap prestasi pemanduan yang tinggi. Menurut syarikat itu, nama LFA kini mewakili model yang membawa warisan teknologi kejuruteraan generasi semasa dan seterusnya, tanpa terikat kepada enjin pembakaran.
LFA Concept dibangunkan seiring dengan GR GT dan GR GT3, berkongsi struktur aluminium tegar serta jarak roda 2,725 mm. Ketiga-tiganya turut menampilkan bentuk hampir sama dengan bonet panjang dan bahagian belakang pendek. Namun, LFA Concept lebih kompak dengan ukuran panjang 4,690 mm, lebar 2,040 mm dan tinggi 1,195 mm.
Asas struktur yang kukuh dan pusat graviti rendah adalah dua daripada tiga elemen pendekatan pembangunan Toyota yang digelar ‘Shinkinen Sengu’, manakala satu lagi memberi tumpuan kepada kecekapan aerodinamik. Lexus menjelaskan bahawa rekaan konsep ini menggabungkan aliran udara efisien dengan gaya kemas, termasuk ciri yang mengingatkan semula kepada LFA asal seperti bonet berliang dan saluran udara pada bahagian buttress.
Bahagian dalaman turut diberikan perhatian besar, dengan fokus kepada suasana kokpit yang memberi rasa keterlibatan penuh kepada pemandu. Kedudukan pemanduan direka agar memberikan keselesaan dan kawalan terbaik. Walaupun versi produksi nanti munckin berbeza, konsep asasnya tetap meletakkan pemandu sebagai pusat pengalaman.
Stereng gaya ‘yoke’ direka supaya pemandu tidak perlu mengubah genggaman ketika membelok, manakala paparan besar di hadapan dipadankan dengan butang kawalan yang mudah dicapai. Suis jenis putar untuk penukaran gear terletak di sebelah kanan, manakala dua butang berbentuk pedal untuk mod ‘F-Mode’ dan ‘Custom’ membolehkan penukaran mod pemanduan dengan cepat. Pilihan untuk mengubah tetapan boost dan brek turut menunjukkan tahap fleksibiliti sistem penggerak elektriknya.
Sebagai sebuah model konsep, masih terlalu awal untuk menjangkakan bila LFA serba baru akan memasuki fasa produksi, terutama dengan fokus yang kini diberikan kepada penghantaran GR GT. Namun jika perkembangan berjalan lancar, mungkin kita akan dapat melihat versi produksi LFA yang sebenar dalam masa terdekat.
The post Lexus LFA Concept didedah – model lagenda hidup semula sebagai EV, dibangunkan bersama GR GT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































