Penawaran produk MotoMorini di Malaysia kini bertambah apabila MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan XCape 700 dan XCape 1200 pada harga masing-masing RM33,888 dan RM49,888 tidak termasuk insurans. Dua model ini diberitahu akan tiba secara rasmi pada bulan Januari 2026.
Untuk XCape 700, ia dipacu oleh enjin dua silinder selari 693 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 75 hp pada 8,500 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 18 liter.
Model ini terletak di atas rim spoked tanpa tiub bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dipegang oleh masing-masing fork USD Marzocchi 50 mm boleh laras serta monoshock Kayaba dengan tombol larasan pra beban.
Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera 298 mm berkembar dengan angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera tunggal 255 mm dengan angkup dua piston di belakang. Sistem ABS dual-channel diberikan secara standard bersama kawalan cengkaman.
Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT tujuh inci, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk pelindung bawah enjin dan tangan plastik, tongkat tengah serta penghadang angin boleh laras secara manual. Berat keseluruhan XCape 700 adalah 213 kg manakala kelegaan dari tanah adalah 178 mm.
Pergi pula kepada XCape 1200, ini adalah model paling maju pernah dihasilkan oleh Moto Morini, digerakkan oleh enjin dua silinder V berkapasiti 1,187 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan mampu menghasilkan kuasa 125 hp pada 9,000 rpm dan tork 105 Nm pada 7,000 rpm.
Sistem elektronik motosikal ini ada pelbagai, bermula dengan lima mod tunggangan, six-axis IMU, Cornering ABS, Intelligent TCS (tiga tahap), Cornering Lights, cruise control, meter TFT tujuh inci dengan sambungan navigasi, radar pemerhati titik buta, kamera perakam hadapan, pemanas tangan dan tempat duduk serta quickshifter.
Datang dengan tayar jenis jalan biasa, XCape 1200 menggunakan padanan rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dipegang masing-masing oleh fork USD Marzocchi dan monoshock (kedua-duanya boleh laras) yang mempunyai jarak gerak 180 mm, dan menjadikan tinggi tempat duduk 860 mm. Tangki bahan api berkapasiti 23 liter.
Ciri lain motosikal ini antaranya termasuk brek cakera 320 mm berkembar dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 280 mm tunggal dengan angkup Brembo satu piston di belakang, skrin TFT tujuh inci dengan sambungan bluetooth serta dua soket pengecas USB. Berat keseluruhannya adalah 245 kg.
Bagi kedua-dua XCape 700 dan XCape 1200 ini, dengan harga yang dinyatakan seperti di atas, ia didatangkan terus dengan kotak barangan belakang dan tepi.
GALERI: MotoMorini XCape 700
GALERI: MotoMorini XCape 1200
The post MotoMorini XCape 700 dan XCape 1200 – harga untuk pasaran Malaysia diumum RM33,888 dan RM49,888 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































































