Malaysia Rail Link (MRL), pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), telah menghentikan semua kerja pembinaan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) FT28 arah Batu Caves selepas sebuah kanopi keluli sementara (temporary steel canopy) runtuh semalam (18 November 2025).
Menurut MRL, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang di Road Under Bridge (RUB) #16 sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) FT28 menghala ke Batu Caves. Ia menambah bahawa struktur sementara tersebut telah gagal dan menghempap sebuah Suzuki Swift.
“Sebagai langkah keselamatan, semua kerja pembinaan di kawasan terlibat telah dihentikan sementara menunggu siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan. Berdasarkan maklumat semasa, pemandu kenderaan yang terlibat berada dalam keadaan selamat.

“Pihak ECRL akan memberikan bantuan kewangan segera kepada pemilik kenderaan yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung, sementara menunggu hasil siasatan pihak berkuasa dan proses tuntutan yang berkaitan. Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan struktur sementara telah berjaya dijalankan di bawah seliaan pihak berkuasa,” kata MRL.
Tambah MRL, struktur sementara “temporary steel canopy” tersebut dibina bagi menghalang serpihan pembinaan daripada jatuh ke laluan jalan raya serta memudahkan pelaksanaan kerja-kerja RUB #16 di lokasi terlibat. Ia telah disiapkan pada Oktober 2025 dan proses berkaitan pembukaan struktur sementara dijadualkan bermula pada 20 November 2025 selepas menerima kelulusan agensi terlibat.
“Pihak ECRL komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan serta memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi. Keutamaan kami adalah keselamatan pengguna jalan raya, orang awam, dan pekerja projek. Kami amat menghargai perhatian dan kerjasama semua pihak berhubung insiden ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati serta mematuhi arahan trafik dan panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di lokasi berkenaan,” katanya lagi.
The post Kerja pembinaan ECRL di MRR2 dihentikan ekoran insiden kereta dihempap kanopi keluli sementara appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















