Pindaan tiga akta di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan bagi bagi membolehkan Sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dilaksanakan oleh syarikat konsesi. Menurut Timbalan Menteri KKR Datuk Seri Ahmad Maslan, tiga akta yang akan dipinda ialah Akta Jalan Persekutuan 1959, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia (Penggabungan) 1980.

Seperti yang dilaporkan oleh The Edge, pindaan tersebut akan menangani aspek penguatkuasaan bagi ketidakpatuhan pembayaran tol, termasuk menentukan pihak berkuasa mana yang akan diberi kuasa untuk bertindak di bawah kerangka undang-undang yang telah disemak. Ahmad Maslan mendedahkan bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkemungkinan besar akan dipertanggungjawabkan dengan tugas penguatkuasaan di bawah undang-undang yang dipinda tahun depan.

Kenyataan yang dikeluarkan ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju), yang meminta penjelasan mengenai garis masa kerajaan untuk pelaksanaan MLFF oleh 33 syarikat konsesi lebuhraya. Ahmad Maslan mengulangi bahawa MLFF akan dilaksanakan secara hubungan perniagaan-ke-perniagaan (business-to-business) tanpa melibatkan pembiayaan kerajaan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghapuskan halangan dan kesesakan di lebuhraya.

Touch ‘n Go baru-baru ini mempamerkan sistem Titan Flow MLFF yang menggabungkan teknologi RFID (pengenalan frekuensi radio), ANPR (pengenalan nombor pendaftaran automatik), LiDAR dan kecerdasan buatan bagi membolehkan kutipan tol tanpa palang. Sementara itu, PLUS Malaysia telah memulakan projek perintis untuk menguji sistem MLFF mereka menggunakan teknologi ANPR.

Mengenai sistem PLUS, Ahmad Maslan menyatakan bahawa LLM telah menetapkan beberapa parameter penilaian untuk ujian perintis awam, termasuk memastikan sistem ANPR dapat mengesan dan mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan dengan tepat supaya caj tol dikenakan dengan betul. Sistem ini juga mesti menawarkan kelajuan transaksi yang lebih pantas berbanding kaedah pembayaran sedia ada serta menjamin keselamatan data dan ketelusan selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

The post Kerajaan pinda tiga akta tahun depan untuk laksana sistem tol MLFF di Malaysia – Kementerian Kerja Raya appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts