Renault kini memperkenalkan Twingo generasi keempat, menyusuli model facelift generasi ketiga pada 2019 yang turut tampil dengan varian elektrik penuh Twingo Z.E. pada 2020. Untuk generasi baru ini, Twingo tampil sebagai model BEV sepenuhnya sejak dari peringkat awal pembangunan, dibina berasaskan platform Renault AmpR Small.
Renault menjelaskan bahawa Twingo E-Tech Electric menggunakan konfigurasi gandar hadapan yang sama seperti Renault 5 dan Renault 4 E-Tech Electric, manakala gandar belakang multilink pada kedua-dua model tersebut digantikan dengan gandar belakang yang digunakan pada Captur.
Unit rangkaian kuasa elektriknya terdiri daripada motor 60 kW (82 PS) dan 175 Nm yang disokong bateri LFP 27.5 kWh, memberikan jarak pemanduan sehingga 263 km mengikut standard WLTP.
Dari segi prestasi, Twingo E-Tech Electric mampu memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam 3.85 saat, manakala pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa 12.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 130 km/j. Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan AC 6.6 kW sebagai standard, yang memerlukan sekitar empat jam 15 minit untuk mengisi dari 10% hingga 100%.
Pek Advanced Charge yang ditawarkan sebagai pilihan pula menaikkan kapasiti AC kepada 11 kW, mengurangkan masa pengecasan kepada dua jam 35 minit. Pengecasan pantas DC sehingga 50 kW juga boleh digunakan, membolehkan pengecasan 10-80% dalam 30 minit. Pek pilihan tersebut juga menambah fungsi V2L dan V2G melalui pengecas dua hala 11 kW AC.
Berhubung dimensi, Twingo E-Tech Electric mencatat ukuran 3,789 mm panjang, 1,720 mm lebar dan 1,491 mm tinggi, dengan jarak roda 2,493 mm serta kelegaan tanah 143 mm. Berat keseluruhan ialah 1,200 kg. Ruang but menawarkan 360 liter dengan tempat duduk belakang tegak, atau lebih 1,000 liter apabila dilipat. Tambahan 50 liter ruang simpanan bawah lantai turut disediakan melalui bukaan dwi-arah yang kekal boleh diakses walaupun ruang kargo utama sedang dipenuhi barang.
Model ini turut menawarkan dua tempat duduk belakang jenis gelungsur yang boleh dilaras sehingga 170 mm, membolehkan pengguna memilih sama ada ingin memaksimumkan ruang kaki penumpang atau ruang kargo — untuk satu atau kedua-dua tempat duduk.
Twingo E-Tech Electric ditawarkan dalam dua varian di Eropah: Evolution dan Techno. Varian Evolution hadir dengan rim 16 inci bersama penutup rim serta ciri keselamatan seperti AEB, bantuan kekal lorong, pemantauan pemandu, brek parkir automatik dan pengesan jarak belakang.
Varian Techno pula datang dengan penutup rim dua tona 16 inci, sistem multimedia OpenR dengan Google binaan dalam (Google Maps, Google Assistant dan Google Play), kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi henti-dan-jalan, pendingin hawa automatik, pemanduan satu pedal, cermin sisi kuasa lipat, tempat duduk penumpang depan boleh lipat, kamera undur, lampu tinggi automatik, pengelap cermin automatik dan sistem audio enam pembesar suara.
Kedua-dua varian didatangkan dengan paparan instrumen 7 inci dan skrin tengah 10 inci dengan fungsi mirroring telefon pintar. Pelanggan juga boleh memilih untuk menaik taraf rim kepada aloi 18 inci, dengan tayar bersaiz 195/60R16 atau 205/45R18.
Dikilangkan di kilang Renault di Novo Mesto, Slovenia, Twingo E-Tech Electric dijangka mula dipasarkan di Eropah awal tahun depan dengan harga permulaan di bawah 20,000 euro (kira-kira RM95,788).
The post Renault Twingo E-Tech Electric 2026 – hatchback generasi keempat kini BEV, jarak gerak WLTP 263 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.










































