Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pelancaran model EV pertama Perodua akan dijadikan sebagai satu agenda nasional penting kerana ia selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar.

“Saya akan beri arahan kepada Jemaah Menteri bahawa peluncuran Perodua EV baharu kali ini dijadikan sebagai satu agenda nasional yang besar.

“Ia bukan sekadar peluncuran produk, tetapi menggabungkan soal governance, social responsibility dan environmental protection (tadbir urus, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar),” katanya ketika Sesi Lawatan Ramah Mesra bersama Warga Kerja Perodua di Perodua Sungai Choh yang dilaporkan oleh Astro Awani.

Malah beliau mendedahkan bahawa tarikh rasmi pelancaran model EV berkenaan akan ditetapkan dalam masa satu hingga dua hari lagi, dengan cadangan diadakan pada penghujung bulan ini. Tambahnya lagi pelancaran EV Perodua tersebut akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara, selain memenuhi konsep Malaysia Madani yang menjadi teras pentadbiran beliau.

Pelancaran EV pertama Perodua adalah agenda nasional, tarikh akan diumum dalam 1-2 hari – PMX

“Saya sangat terkesan kerana peluncuran ini membawa faedah kepada rakyat dan negara, dan pada masa sama ia memenuhi konsep Madani.

“Dalam masa singkat, mungkin dua minggu lebih, saya akan hadir semula untuk menjadikan peluncuran Perodua kali ini sebagai program nasional penting. Saya beri jaminan untuk sekarang,” katanya lagi.

Dalam acara yang sama Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek EV nasional tersebut, yang disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam transformasi industri automotif negara.

Model EV pertama Perodua ini disahkan bakal diberi nama sebagai Perodua QV-E. Sebahagian reka bentuk dan teknologi yang akan digunakan telah pun didedahkan menerusi prototaip Perodua eMO pada Mei lalu. Prototaip ujian model berkenaan juga telah dilihat kerap menjalani ujian di atas jalan raya awam, dan mengikut perancangan Perodua, pelancaran rasminya akan dibuat pada bulan Disember ini.

The post Pelancaran EV pertama Perodua adalah agenda nasional, tarikh akan diumum dalam 1-2 hari – PMX appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts