Hyundai Staria 2025 CKD yang dikeluarkan dari kilang Inokom Kulim baru saja diumumkan masuk pasaran tempatan pada pertengahan Oktober lalu. Dan antara kelebihan model CKD ini adalah ia datang dengan pilihan warna baru.
Satu daripada warna berkenaan, rona biru Stormy Sea kini dipamerkan di acara Auto Car Expo (ACE) 2025 anjuran paultan.org, yang berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) dari 8-9 November 2025. Lain-lain warna pilihan yang tersedia ialah Jet Black, Snowflake White Pearl dan Meteor Grey.
MPV ini ditawarkan dalam versi 10-tempat duduk dengan tiga varian iaitu Style dengan harga RM179,888, diikuti varian Prime dengan harga RM196,888 dan Prestige dengan harga RM209,888. Satu-satunya versi tujuh-tempat duduk ditawarkan dalam varian Prestige, dan dijual dengan harga RM267,888.

Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan setiap pembelian akan dilindungi waranti pengeluar selama lapan-tahun atau 160,000 km. Semuanya harga yang sama seperti ketika dilancarkan secara rasmi Julai lalu untuk model CBU-nya.
Berbanding model pra-facelift, Staria 2025 hanya melibatkan sedikit kemaskini, antaranya lencana aluminium baru jenama ini dan kunci berbentuk logo H, yang kedua-duanya diambil dari Ioniq 6. Selain itu, ia juga diberikan pengilap cermin automatik dan slot USB-C (namun slot yang disambung ke sistem infotainmen masih lagi USB-A), manakala pintu gelungsur berkuasa bebas kendalian tangan dengan berasaskan penderia kunci kini beroperasi lebih pantas.
Model facelift ini juga menerima kemasan berwarna gangsa untuk lencana, sekeliling lampu hadapan, gril, spoiler depan, cermin sisi dan kemasan bampar belakang, walaupun selebihnya kelihatan hampir sama seperti model terdahulu.
Di dalam, balutan kulit Nappa masih dikekalkan, dengan kemasan Alcantara pada panel pintu dan konsol tengah telah digugurkan (kemasan bumbung dalaman masih menggunakan material tersebut).
Staria 2025 masih menggunakan enjin 2.2 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 177 PS pada 3,800 rpm dan 431 Nm tork dari 1,500 hingga 2,500 rpm, disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan.
Baca lanjut berkaitan Hyundai Staria 2025 di sini.
The post Hyundai Staria CKD di ACE 2025 — warna baru Stormy Sea, versi 7 dan 10-tempat duduk, RM180k-RM268k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





























