Ini mungkin berita yang ramai terlepas – pada 19 Ogos lalu, pembuat transmisi dari Belgium iaitu Punch Powertrain secara rasmi telah membuka kilang baharunya di Malaysia, terletak di Tanjong Malim, Perak yang memproduksi kotak gear CVT.

Acara perasmian pembukaan kilang baharu itu bukan hanya dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin, malah ia turut disertai oleh CEO Proton Dr Li Chunrong. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pembukaan kilang transmisi baharu ini adalah sebahagian dari “kerjasama jangkamasa panjang” antara Punch Powertrain dan Proton.

Seperti yang diketahui Punch sudah lama membekalkan kotak gear CVT kepada Proton sejak model Saga FLX pada 2011. Model Proton yang masih dijual dibekalkan oleh Punch buat masa sekarang hanyalah Iriz dan Persona, di mana produksi Iriz telahpun dihentikan, dan mungkin akan diikuti Persona tidak lama lagi.

Punch Powertrain buka kilang transmisi di Tg. Malim; kerjasama Proton, bekal kotak gear CVT Saga 2026?

Model-model Proton yang dibangunkan berasaskan model-model dari Geely pula seperti X50, X70, X90 dan S70 dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, manakala Saga generasi ketiga sudah tidak lagi menggunakan kotak gear CVT sejak versi MC1 2019 dan digantikan dengan kotak geat AT empat-kelajuan yang pada mulanya dibekalkan oleh Hyundai, dan versi MC2 terkini dibekalkan oleh Aisin.

Jadi model Proton mana yang akan menerima kotak gear CVT Punch Powertrain ini “dalam jangka masa panjang”? Yang paling logik, berkemungkinan Proton Saga MC3 2026 yang didedahkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini akan dibekalkan dengan kotak gear CVT yang dihasilkan di kilang baharu di Tanjong Malim ini.

Punch Powertrain buka kilang transmisi di Tg. Malim; kerjasama Proton, bekal kotak gear CVT Saga 2026?

Ini kerana menerusi dokumen yang tertiris sebelum ini mendedahkan bahawa walaupun dibekalkan dengan enjin 1.5 liter baharu dari Geely, Saga MC3 akan ditawarkan dengan kotak gear CVT untuk varian tertinggi dan varian asas, manakala varian pertengahan akan kekal menggunakan kotak gear 4AT.

Malah pembukaan rasmi kilang ini juga dilihat selari dengan garis masa di mana Proton telah menghentikan produksi Saga MC2 di Shah Alam pada akhir September lalu, dan mula menghasilkan Saga MC3 di Tanjong Malim pada awal Oktober. Dijangkakan Proton Saga 2026 akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi, iaitu sebelum berakhirnya tahun ini. Kita mungkin akan mendapat jawapan rasmi dari Proton selepas Saga ini dilancarkan, tetapi sebelum itu anggaplah ini hanya spekulasi.

The post Punch Powertrain buka kilang transmisi di Tg. Malim; kerjasama Proton, bekal kotak gear CVT Saga 2026? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts