Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 minggu lalu, kerajaan bakal meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi memasukkan elemen undang-undang lemon (Lemon Law). Langkah ini bertujuan untuk melindungi hak pengguna, khususnya melibatkan pembelian kenderaan.

Ini berikutan kajian kebolehlaksanaan selama enam bulan yang telah dijalankan tahun lepas menyimpulkan bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan rangka kerja undang-undang khusus untuk menangani isu dan batasan berkaitan perlindungan pengguna dalam industri automotif.

Selepas itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangka kertas kabinet awal tahun ini mencadangkan pindaan kepada Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk memasukkan peruntukan ‘Lemon law’. Namun ketika ia diumumkan dalam Belanjawan 2026 Jumaat lalu, kerajaan masih belum memperincikan bila ia akan mula dilaksanakan.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyambut baik langkah yang bakal dilaksanakan ini. Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, persatuan itu berkata ia menyokong dan mengalu-alukan langkah kerajaan untuk meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi memasukkan peruntukan ‘Lemon Law’, yang selaras dengan saranan awalnya untuk menyepadukan elemen ini dalam Akta sedia ada dan bukannya mewujudkan undang-undang baharu.

MAA sambut baik langkah kerajaan laksana ‘Lemon Law’, namun perlu perjelas definisi dan kriteria

Untuk memastikan pelaksanaan ‘Lemon Law’ yang berkesan, MAA mencadangkan definisi dan kriteria yang jelas harus diwujudkan bagi mengenal pasti apa yang ditakrifkan pada sesebuah kenderaan sebagai “lemon”, termasuk had percubaan pembaikan dan jangka masa.

Ia turut menambah bahawa terdapat juga keperluan untuk proses yang adil dan piawai ditetapkan untuk penilaian, pengantaraan dan penyelesaian bagi mengelakkan kekaburan dan penyalahgunaan peruntukan itu. Selain itu, penglibatan pihak berkepentingan dan program kesedaran juga diperlukan untuk mendidik pengguna dan pemain industri tentang hak dan kewajipan mereka di bawah undang-undang yang dipinda.

Lemon Law lazimnya merujuk kepada perlindungan terhadap pengguna yang membeli kenderaan yang mengalami kerosakan serius atau kecacatan tersembunyi yang menjejaskan keselamatan dan fungsi kenderaan tersebut. Pelaksanaan undang-undang ini di Malaysia dijangka akan memberi perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pengguna dan menggalakkan amalan lebih bertanggungjawab dalam industri automotif negara.

Skop perkara yang diliputi oleh ‘Lemon Law’ berbeza-beza bergantung pada cara ia dilaksanakan. Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Singapura dan Filipina telah pun mengamalkan beberapa bentuk ‘Lemon Law’ ini.

The post MAA sambut baik langkah kerajaan laksana ‘Lemon Law’, namun perlu perjelas definisi dan kriteria appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts