Pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini tidak menyentuh langsung mengenai lanjutan pengecualian duti import dan eksais bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU), yang sudah dinikmati sejak tahun 2022. Ini bermakna, kita boleh menjangkakan harga bagi model-model EV import meningkat mulai 1 Januari 2026.

Perkara ini disahkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui laporan Fiscal Outlook and Federal Government Revenue Estimates, menurut laporan The Edge. Dalam laporan tersebut, MOF menyatakan bahawa hasil kutipan kerajaan dijangka meningkat kepada RM12.79 bilion pada tahun 2026, berbanding RM12.51 bilion yang diunjurkan bagi tahun 2025. Sebahagian daripada peningkatan ini dijangka datang daripada penamatan insentif cukai EV sedia ada.

Sebelum ini, kerajaan telah dua kali melanjutkan tempoh pengecualian cukai untuk EV CBU. Pada asalnya, insentif ini dijadualkan tamat pada penghujung tahun 2023, namun dilanjutkan ke akhir 2024 melalui Belanjawan 2023. Kemudiannya, selepas kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran, tempoh itu sekali lagi dipanjangkan sehingga hujung 2025.

Namun begitu, dalam Belanjawan 2026 yang baru dibentangkan, tiada sebarang pengumuman dibuat mengenai lanjutan insentif ini, meskipun pemain industri terus menyuarakan harapan agar ia diteruskan.

The post Belanjawan 2026: Pengecualian cukai EV CBU tidak disambung, harga dijangka naik 1 Januari 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts