Dalam pembentangan Belanjawan 2026 hari ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi memasukkan elemen undang-undang lemon (Lemon Law). Langkah ini bertujuan untuk melindungi hak pengguna, khususnya melibatkan pembelian kenderaan.
Cadangan untuk mewujudkan Lemon Law ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada Mac 2024, kerajaan telah melaksanakan satu kajian kebolehlaksanaan terhadap keperluan pelaksanaan undang-undang ini. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh ketika itu menyatakan bahawa kajian ini turut meneliti beberapa kelemahan dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang perlu diperbaiki.
Kemudian pada Mei tahun ini, KPDN memaklumkan bahawa satu kertas cadangan telah disediakan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Kertas cadangan tersebut mencadangkan pindaan kepada akta sedia ada bagi memasukkan peruntukan berkaitan Lemon Law, hasil daripada satu kajian undang-undang yang dijalankan selama enam bulan.
Lemon Law lazimnya merujuk kepada perlindungan terhadap pengguna yang membeli kenderaan yang mengalami kerosakan serius atau kecacatan tersembunyi yang menjejaskan keselamatan dan fungsi kenderaan tersebut. Pelaksanaan undang-undang ini di Malaysia dijangka akan memberi perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pengguna dan menggalakkan amalan lebih bertanggungjawab dalam industri automotif negara.
The post Belanjawan 2026: Lemon Law akan diperkenal di M’sia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.