Juara dunia Kejohanan Rali Dunia (WRC) paling muda dalam sejarah, Kalle Rovanperä mengumumkan bahawa beliau akan bersara dari perlumbaan tersebut pada penghujung musim ini dan bakal beralih arah untuk berlumba dalam disiplin lain.
“Saya jatuh cinta dengan rali ketika masih seorang kanak-kanak dan bertuah untuk membesar dikelilingi legenda dan idola, dengan peluang untuk memandu pada usia yang sangat muda. Impian saya ketika itu adalah untuk menjadi pelumba WRC, menang rali, dan satu hari nanti bergelar juara dunia. Saya bangga kerana telah mencapai impian-impian tersebut. Sukan ini telah membentuk saya dan kemahiran saya dalam banyak cara, dan saya berhenti dengan rasa yang sangat bersyukur,” kata Rovanperä dalam kenyataan yang baru dikeluarkan sebentar tadi.
Kalle Rovanperä merupakan anak kepada pelumba WRC dari Finland, Harri Rovanperä yang pernah menang Rally Sweden 2001 bersama pasukan Peugeot. Beliau mula mendapat perhatian dalam dunia rali ketika masih berumur lapan-tahun, dilihat begitu mahir memandu jentera rali pacuan belakang Toyota Starlet. Pada umur baru mencecah 15 tahun, Kalle Rovanperä sudahpun berjaya bergelar juara kelas R2 dalam Kejohanan Rali Latvia.

2023 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally 2023 / 25th-29th October, 2023 // Worldwide Copyright: Toyota Gazoo Racing WRT
Rovanpera kemudiannya beralih ke kelas lebih tertinggi pada kejohanan rali nasional berkenaan dan berjaya bergelar juara kategori terbuka dua tahun berturut-turut pada 2016 dan 2017. Dia kemudiannya dilamar oleh pasukan Skoda untuk bertarung dalam WRC dalam kategori WRC2 Pro, dan bergelar juara pada tahun 2019.
Ini menyebabkan Tommi Makinen yang ketika itu menyandang tugas sebagai prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing tidak menunggu lama untuk melamar Rovanpera bagi menyertai pasukannya, melengkapkan barisan pemandu pasukan tersebut bersama Elfyn Evans dan Sebastien Ogier bermula pada musim 2020.
Beliau kemudiannya mencatatkan rekod sebagai pemenang pusingan WRC paling muda apabila memenangi Rally Estonia 2021 ketika berumur 20 tahun, dan kemudian dinobatkan sebagai Juara Dunia WRC paling muda dalam sejarah pada musim 2022 ketika berumur 22 tahun. Kalle Rovanperä sekali lagi mempertahankan gelaran Juara Dunia berkenaan pada musim 2023.
Pelumba muda tersebut kemudiannya mengumumkan untuk ‘separa bersara’ dari WRC dengan mengambil bahagian dalam hanya beberapa pusingan, di mana masa lapang yang ada beliau gunakan untuk mengambil bahagian dalam beberapa perlumbaan litar dan juga kejohanan Drift. Setelah kembali sepenuh masa pada musim 2025, prestasi Rovanpera dilihat menurun dengan mendakwa bahawa beliau tidak dapat menyesuaikan dengan tayar baharu WRC yang kini dibekalkan oleh Hankook berbanding Pirelli sebelum ini.
Ke mana arah Kalle Rovanperä selepas ini? Menerusi satu lagi kenyataan yang juga baru dikeluarkan oleh Toyota Gazoo Racing (TGR), Rovanperä bakal memulakan kerjayanya sebagai pelumba single seater dalam siri Kejohanan Super Formula Jepun musim hadapan dengan sokongan dari Toyota, dengan sasaran untuk ke Kejohanan Formula 2 pada 2027!
“Agak istimewa untuk mendapat sokongan dari Toyota Gazoo Racing dari permulaan cabaran baharu ini dan dapat berlumba dalam Super Formula. Saya tahu bahawa dari rali, ini merupakan terjunan yang terus ke dasar tetapi saya benar-benar tak sabar dan bersama TGR kami mempunyai rancangan yang bagus untuk bersedia dengan cara sebaik yang mungkin dan cuba menghabiskan hampir semuanya,” kata Rovanperä dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Toyota.
The post Kalle Rovanperä bersara dari WRC hujung musim ini, bakal pandu siri Super Formula Jepun tahun depan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.