Versi pemanduan sebelah kanan (RHD) bagi Toyota bZ3X telah pun dilancarkan di Hong Kong dan Macau, dan model EV ini ditawarkan pada harga HKD259,000 (RM140,008) di Macau; manakala untuk pasaran Hong Kong, harganya masih belum disahkan lagi, menurut Car News China.
Ia menjadikan harga bZ3X di Macau lebih mahal berbanding China, di mana model elektrik-bateri itu ditawarkan pada 139,800 yuan (RM82,589), menurut laporan berkenaan.
Untuk pasaran Hong Kong dan Macau, bZ3X diberikan motor 204 PS/210 Nm yang kuasanya dijanakan oleh bateri lithium-iron phosphate 70 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 565 km mengikut kitaran ujian NEDC. Ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC hingga 90 kW dan pengecas AC 6.6 kW.
Dengan ukuran 4,600 mm panjang, 1,850 mm lebar dan 1,645 mm tinggi dengan jarak roda 2,765 mm, bZ3X adalah seberat 1,835 kg. Ia dilengkapi roda aloi 19-inci dengan tayar 225/45R19, serta sistem suspensi jenis topang MacPherson di bahagian hadapan dan torsion beam di bahagian belakang.
Di bahagian dalamnya, kabin bZ3X menampilkan panel instrumen digital sembilan-inci dan unit infotainmen tengah berukuran 14.6-inci, dengan sokongan untuk Apple CarPlay tanpa wayar, manakala sistem audionya menggunakan 11-pembesar suara Yamaha. Tempat duduk hadapan dilengkapi dengan fungsi pengudaraan, pemanas dan penyejuk, serta sistem pendingin udara dwi-zon yang turut merangkumi penapisan PM2.5 dan corong udara belakang.
Sementara itu, tempat duduk belakang boleh direbahkan dengan sudut antara 117 hingga 137 darjah, dan model ini juga didatangkan dengan bumbung panoramik. Berbanding bZ3X yang dijual di tanah besar China, model pasaran Macau tidak menerima motor 165 kW (224 PS) yang lebih berkuasa atau sistem pemanduan bantuan lidar, menurut Car News China.
Toyota bZ3X ialah model kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) yang dibangunkan bersama oleh pengeluar kereta Jepun itu dengan Guangzhou Automobile Group, GAC Toyota Motor dan IEM by Toyota. Model ini diperkenalkan dalam bentuk konsep di Auto China Beijing 2024, bersama bZ3C dan bZ3.
Selain Hong Kong dan Macau, Toyota bZ3X juga dijangka memasuki pasaran pemanduan sebelah-kanan seperti Jepun, UK, Australia, New Zealand dan Singapura, menurut laporan tersebut. Adakah anda juga ingin melihat Toyota BEV ini ditawarkan di Malaysia?
GALERI: Toyota bZ3X di Auto China 2024, Beijing
The post Toyota bZ3X dilancar di Hong Kong dan Macau; versi RHD bakal ke Jepun, UK, Australia, NZ, Singapura appeared first on Paul Tan’s Automotive News.