JPJ sita sebuah Toyota Fortuner yang guna nombor pendaftaran berbeza termasuk miliki 42 saman AWAS

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) melalui Unit Peronda Lebuhraya (UPLR) telah mengesan dan menyita sebuah Toyota Fortuner di Tanjung Malim yang menggunakan nombor pendaftaran berbeza pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan.

Hasil pemeriksaan mendapati SUV tersebut menggunakan nombor pendaftaran PRF yang dipamerkan di bahagian hadapan, manakala nombor pendaftaran RF pula di bahagian belakang.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata, siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran RF adalah wujud dan dimilik oleh individu lain.

“Hasil semakan pangkalan data JPJ, terdapat 42 saman kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang direkodkan ke atas nombor kepunyaan atau milikan orang lain, dipercayai bagi mengelak dikesan dan dikenakan tindakan.

JPJ sita sebuah Toyota Fortuner yang guna nombor pendaftaran berbeza termasuk miliki 42 saman AWAS

“Pemilik sebenar kenderaan (PRF) telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 108(3)(f), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu. Kenderaan turut disita mengikut Seksyen 64 (1), Akta yang sama untuk tindakan lanjut. Jika sabit kesalahan, pemilik boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali”, katanya dalam sidang media yang berlangsung di Stesen Penguatkuasa JPJ Kalumpang hari ini.

Tambah beliau, saman AWAS yang dikenakan terhadap pemilik asal nombor pendaftaran RF itu akan dipindahkkan kepada pemilik kenderaan sebenar (PRF) yang melakukan kesalahan lalu lintas terbabit.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemalsuan nombor pendaftaran dan akan terus melaksanakan tindakan tegas bagi menjaga keselamatan serta integriti sistem pengangkutan jalan raya negara,” sambungnya lagi.

The post JPJ sita sebuah Toyota Fortuner yang guna nombor pendaftaran berbeza termasuk miliki 42 saman AWAS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts