Pernah dengar tentang pembiayaan anjal (“agility financing”) yang biasanya ditawarkan oleh jenama-jenama pengeluar kenderaan premium? Ia merupakan sebuah skim pembiayaan kenderaan yang fleksibel. Kini, Perodua dan Maybank telah bekerjasama untuk memberikan pelan pembiayaan anjal patuh syariah yang pertama di Malaysia — dikenali sebagai Perodua Flexiplan, yang menggunakan pendekatan yang sama daripada Drive Financing-i oleh Maybank Islamic.
Ini merupakan produk pembiayaan yang pertama seumpamanya ditawarkan bagi kedua-dua syarikat (dan juga yang melibatkan bank komersial, kerana Mercedes-Benz dan BMW mempunyai cabang pembiayaan sendiri), pelan pembiayaan ini disifatkan sebagai “pembiayaan kenderaan Murabahah yang sangat kompetitif, menawarkan bayaran bulanan lebih berpatutan bagi tempoh lima tahun pertama”.
Selain bayaran muka dan ansuran bulanan yang lebih rendah, pelan ini juga memberi kelebihan lain seperti belian semula kenderaan oleh Perodua “dengan harga lebih berpatutan berbanding nilai pasaran” bagi pembelian model baru Perodua.
Ini adalah seperti jaminan nilai masa depan yang turut biasa ditawarkan oleh jenama premium. Tentunya, semua ini tertakluk kepada terma dan syarat, jadi ia akan melibatkan had tempoh waktu dan kereta perlu diserahkan semula dalam keadaan yang boleh diterima, jadi pelanggan perlu memastikan perkara ini sekiranya mereka ingin memanfaatkannya.
Bagi pemulangan kenderaan selepas mencecah usia lima tahun, pelanggan akan diberi pilihan untuk trade-in kereta mereka dengan model baru, dengan nilai jualan tersebut akan digunakan untuk tujuan bayaran muka bagi tempoh lima-tahun ke depan. Namun, jika ingin menyimpan kereta tersebut, pelanggan hanya perlu menyelesaikan baki pembiayaan yang tersisa untuk tempoh hingga empat tahun ke depan di bawah pelan bayaran semula yang dikemaskini.
Model Perodua yang terlibat dalam Perodua Flexiplan ini ialah Myvi, Axia (tidak termasuk Axia E “Rahmah”), Ativa dan Aruz. Alza tidak termasuk kerana menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, MPV berkenaan masih mempunyai senarai menunggu yang panjang untuk dipenuhi oleh Perodua. Begitu juga dengan Bezza, ia juga belum termasuk dalam senarai ini.
Perodua Flexiplan disifatkan akan memperkaya ekosistem penyelesaian pembiayaan patuh syariah bagi pemilik kenderaan Perodua, yang turut termasuk takaful komprehensif Perodua Total Protect Plus oleh Etiqa — yang datang dengan perlindungan bencana tambahan RM5,000 — serta “Credit Reducing Term Takaful” sebagai perlindungan tambahan untuk pelanggan.
The post Perodua FlexiPlan pembiayaan anjal oleh Maybank Islamic — bayaran muka dan ansuran bulanan rendah appeared first on Paul Tan’s Automotive News.