
Jenama kenderaan elektrik (EV) Zeekr, yang berada di bawah naungan Geely, kini secara rasmi mengambil alih operasi di Malaysia menerusi penubuhan syarikat tempatan, Zeekr Intelligent Technology (Malaysia). Ini menandakan langkah penting di mana pihak prinsipal kini mengendalikan sendiri peranan sebagai pengedar rasmi di negara ini.
Dalam satu kenyataan bertajuk “Zeekr Malaysia: A New Chapter Begins”, syarikat itu mengumumkan penubuhan syarikat jualan nasional (NSC) yang akan menguruskan sepenuhnya operasi borong, pembangunan rangkaian pengedar, penjenamaan, pemasaran serta perkhidmatan selepas jualan.
Zeekr Malaysia merancang untuk membuka 10 bilik pameran dan tiga pusat servis menjelang tahun 2025. Pada masa ini mereka sedang mencari rakan pengedar baru di Cheras, Kuantan, Kuching, Kota Kinabalu dan Tebrau (Johor Bahru). Menurut Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, Alex Bao, Malaysia merupakan salah satu pasaran paling penting bagi Zeekr di rantau ini.
“Zeekr baru-baru ini mencapai kejayaan besar dengan pengeluaran kenderaan ke-500,000 di peringkat global. Kami kini telah berkembang ke lebih 40 negara dan rantau. Penubuhan NSC ini membolehkan kami lebih dekat dengan pelanggan — mendengar suara mereka, memahami keperluan mereka dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.
Tambah beliau, komitmen jangka panjang Zeekr di Malaysia tertumpu kepada tiga aspek utama iaitu pengembangan rangkaian pengedar, peningkatan perkhidmatan selepas jualan dan pelaburan dalam pemasaran. Setakat ini, Zeekr sudah mempunyai dua bilik pameran yang dikenali sebagai Zeekr Space — satu di Petaling Jaya dan satu lagi di IOI Mall Puchong.
Dengan penubuhan NSC ini, Zeekr bersama rakan tempatan mereka, Sentinel Automotive, Preeminent Auto dan Carro akan mempercepatkan pertumguhan dengan membuka lapan lagi bilik pameran baharu di lokasi Bandar Sunway (Julai), Jalan Yap Kwan Seng, KL (Julai), Bangsar (Suku Ketiga), Skudai, Johor Bahru (Suku Ketiga), Pulau Pinang (Suku Ketiga), Seremban (Suku Keempat), Melaka (Suku Keempat) dan Ipoh (Suku Keempat)
Tiga pusat servis rasmi Zeekr pula dijadualkan beroperasi tahun ini di Bandar Sunway, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Di pasaran Malaysia, Zeekr kini menawarkan dua model EV iaitu 009, sebuah MPV mewah dan X, sebuah crossover. Model seterusnya yang bakal tiba ialah Zeekr 7X, sebuah SUV elektrik yang dijangka menjadi pencabar kepada Tesla Model Y dan BYD Sealion 7.
The post Zeekr Intelligent Technology Malaysia ditubuhkan – prinsipal ambil alih sebagai pengedar rasmi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.