Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), AFA Prime Berhad telah mengeluarkan sebanyak 2,122 surat tuntutan (LOD) antara tempoh 2023 hingga 2025 untuk pengguna lebuhraya berkenaan yang melakukan kesalahan tailgating (mengekori rapat kenderaan hadapan) dan melanggar peraturan tol atau lebih tepat lagi ‘culas bayar tol’.

Menurut Pengurus Besar AFA Prime Berhad Ismaliza Ibrahim, jumlah tuntutan keseluruhan RM21,181 membabitkan pelbagai kesalahan dan majoriti kes membabitkan pengguna kenderaan kelas satu yang menyumbang kira-kira 95%s daripada keseluruhan kes yang dikesan, laporan Bernama.

“Pecahan tahunan menunjukkan 571 LOD (RM6,177.80) pada 2023, diikuti 853 LOD (RM8,190.00) pada 2024 dan 698 LOD (RM6,813.20) pada 2025. Data itu menunjukkan kesalahan masih berulang secara konsisten setiap tahun dengan jumlah melebihi 500 kes setahun.

“Kesalahan yang direkodkan membabitkan tiga kategori utama iaitu ‘tailgating’, melanggar palang tol serta tidak berhenti di laluan manual di plaza tol,” katanya dalam sidang akhbar ketika meninjau operasi bersepadu di Plaza Tol Gombak pagi tadi.

2,122 LOD dikeluarkan antara 2023-2025 untuk pengguna Lebuhraya LPT1, KLK yang culas bayar tol
2,122 LOD dikeluarkan antara 2023-2025 untuk pengguna Lebuhraya LPT1, KLK yang culas bayar tol

Sinaran Harian pula melaporkan, kesalahan tidak membayar tol masih berlaku secara berulang walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan oleh pihak konsesi bersama agensi berkaitan, kata Ismaliza.

“Berdasarkan pemerhatian, majoriti kes melibatkan pengguna kenderaan persendirian dan bukan kenderaan komersial. Selain itu, kesalahan dikesan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang memantau setiap pergerakan di lorong tol. Daripada statistik, ada kenderaan yang melakukan kesalahan sehingga 30 kali. Kebanyakannya kenderaan biasa,” katanya.

Tambahnya, walaupun jumlah LOD dikeluarkan adalah tinggi, kadar bayaran semula masih rendah iaitu kurang daripada satu peratus, sekali gus menunjukkan tahap pematuhan masih belum memuaskan.

2,122 LOD dikeluarkan antara 2023-2025 untuk pengguna Lebuhraya LPT1, KLK yang culas bayar tol

Ismaliza berkata, antara lokasi yang kerap mencatatkan kesalahan adalah di Lebuhraya KLK dan LPT1 membabitkan kawasan Gombak, Bentong dan Kuantan, namun kesalahan itu berlaku sepanjang masa dan bukan hanya pada musim perayaan.

Menurutnya, operasi khas yang dilaksanakan hari ini memberi tumpuan kepada pengesanan pesalah tegar dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) termasuk penggunaan senarai kenderaan yang dikenal pasti melakukan kesalahan berulang.

“Kesalahan itu turut dikesan menerusi pelbagai kaedah pemantauan termasuk sistem pengesanan automatik di plaza tol yang merekodkan insiden seperti tailgating dan pelanggaran palang tol,” katanya.

“Setiap kesalahan yang disabitkan boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) (Pindaan) 1994,” katanya.

The post 2,122 LOD dikeluarkan antara 2023-2025 untuk pengguna Lebuhraya LPT1, KLK yang culas bayar tol appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts