Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan bahawa beberapa syarikat kenderaan elektrik (EV) dari China seperti Zeekr, XPeng dan MG merancang untuk memulakan aktiviti pemasangan tempatan (CKD) tahun ini susulan tamatnya tempoh kelonggaran dan insentif cukai bagi model EV yang diimport sepenuhnya (CBU).
Menurut MITI rancangan yang dibuat oleh syarikat-syarikat tersebut kerana mengambil kira pengecualian cukai sepenuhnya yang masih terpakai bagi EV CKD sehingga 31 Disember 2027.
Kementerian berkenaan memberikan jawapan bertulis ini yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai penetapan harga lantai kereta EV CBU dan pelaburan syarikat EV dari China dalam pasaran CKD di Malaysia menjelang 2027.
Harga lantai bagi EV CBU kini telah meningkat kepada RM250,000 berbanding RM100,000 sebelum ini. MITI menyatakan bahawa penamatan tempoh kelonggaran harga lantai RM100,000 kepada struktur asal RM250,000 seunit adalah wajar bagi memastikan peralihan lebih jelas daripada import CBU kepada pemasangan tempatan dan pelaburan yang dibuat oleh syarikat nasional dan vendor tempatan dapat dilindungi.
“Selain itu, ekosistem EV domestik akan terus berkembang secara mampan dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam negara dapat diwujudkan serta dipelihara,” kata kementerian berkenaan dalam jawapan tersebut.
Sebahagian dari jenama yang disebutkan oleh MITI berkenaan sebenarnya telahpun memulakan operasi CKD mereka di Malaysia. Minggu ini MG S5 EV CKD secara rasmi telah pun mula keluar dari kilang EPMB di Pegoh, Melaka, di mana kilang yang sama turut akan mula memproduksi model-model Xpeng bermula akhir bulan ini. Xpeng sebelum ini telah mengesahkan bahawa ia akan memasang model-model termasuk G6, X9 dan X9 PowerX REEV di kilang EPMB berkenaan.
Manakala untuk Zeekr, jenama premium di bawah Geely berkenaan telah mengesahkan bahawa ia akan membuka fasiliti pemasangan tempatannya di Malaysia, yang akan beroperasi di Automotive Hi-Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim yang turut menempatkan fasiliti Proton. Kilang yang akan dibina berkenaan akan menjadi fasiliti pemasangan Zeekr pertama di luar China, dan model pertama yang akan dipasang adalah SUV Zeekr 7X.
Kami faham tentang mengapa kerajaan menetapkan harga lantai RM250,000 tersebut. Namun dengan penetapan tersebut ia mungkin akan menyebabkan beberapa model menarik tidak dapat masuk ke pasaran Malaysia. Misalnya Honda Super One yang telah dirancang untuk dipasarkan ke seluruh dunia dan telah dilihat diuji di Malaysia sebelum ini – ia mungkin sukar untuk dijual di sini kerana model tersebut agak sukar untuk dipasang di Malaysia (kerana pengeluarannya yang tidak banyak), dan seterusnya EV bersaiz kecil berkenaan sukar untuk dijual pada harga bermula RM250,000.
The post Zeekr, XPeng dan MG akan pasang EV di Malaysia untuk dapatkan pengecualian cukai hingga akhir 2027 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















