Selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza, kini giliran Datuk Seri Lee Chong Wei, sebagai selebriti kedua di Malaysia yang memilih Zeekr 7X sebagai kenderaan peribadi. Jika Datuk Siti memilih rona Forest Green, ikon badminton itu pula memilih warna Tech Grey.
Dilancarkan pada Ogos 2025, model 7X telah mencatat kejayaan besar bagi jenama premium milik Geely itu, dengan lebih 1,500 unit terjual menjelang akhir tahun 2025. Malah SUV premium itu menduduki tempat kedua dalam carta jualan EV bagi Januari 2026, hanya di belakang Proton eMas 5.
Ia masih dianggap berbaloi walaupun selepas kenaikan harga baru-baru ini bagi tahun 2026, yang menyaksikan harga runcit yang disyorkan (RRP) meningkat antara 1.6% hingga 1.8%. Kenaikan ini berlaku susulan tamatnya insentif pengecualian cukai untuk EV. Malah pelarasan kecil itu “mencerminkan komitmen terhadap pelanggan di Malaysia serta strategi jangka panjang jenama ini di pasaran tempatan, menurut Zeekr Malaysia.
Barisan model 7X kini bermula dari RM182,800 bagi varian RWD Standard (sebelum ini RM179,800), manakala RWD Long Range pula berharga RM193,800 (sebelum ini RM190,800). Varian tertinggi AWD Performance kini dijual pada harga RM230,800, berbanding harga sewaktu dilancarkan iaitu RM226,800. Spesifikasi penuh dan maklumat lanjut boleh dilihat dalam artikel pelancarannya.
Untuk tahun ini, Zeekr merancang untuk melancarkan tiga model baharu dan turut mengesahkan rancangan pemasangan tempatan (CKD). Model Zeekr pertama yang akan dipasang secara tempatan di Malaysia (dan juga di dunia) ialah 7X. Tiada garis masa khusus diberikan, namun memandangkan 7X bukan salah satu daripada tiga model baharu bagi 2026, ia dijangka muncul seawal tahun 2027.
The post Zeekr 7X turut jadi pilihan Datuk Seri Lee Chong Wei appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















