Zeekr secara rasmi mendedahkan model facelift bagi SUV elektrik 7X di pasaran China, meskipun model asalnya baru sahaja diperkenalkan kurang setahun yang lalu. Perubahan luaran nampak sederhana, tapi di sebaliknya terdapat naik taraf teknikal yang cukup besar.
Melihat pertamanya kepada reka bentuk, Zeekr 7X kini tampil dengan bampar depan baru yang lebih agresif, lengkap dengan salur udara di bahagian penjuru, mirip seperti yang dilihat pada model 007 GT wagon. Di belakang pula, lokasi nombor plat telah dialihkan ke bahagian tailgate, tepat di bawah bar lampu belakang yang merentangi keseluruhan lebar kenderaan.
Ciri paling ikonik pada 7X, iaitu lampu hadapan Stargate yang boleh disesuaikan dengan 1,831 LED, masih dikekalkan. Kini, jalur lampu penuh di bawahnya akan berubah menjadi warna biru apabila mod pemanduan automatik diaktifkan – satu ciri yang turut boleh dilihat pada cermin sisi dan lampu bampar belakang.
Bahagian dalam kabin tidak banyak berubah kecuali penambahan pilihan warna baru – jingga dan ungu. Paparan digital 13.02 inci, skrin infotainmen mini-LED bersaiz 16 inci serta beberapa ciri eksklusif untuk pasaran China seperti tempat duduk belakang boleh baring lengkap dengan ottoman, fungsi urut, meja lipat dan satu lagi skrin OLED 13 inci masih kekal ditawarkan.
Perubahan paling besar terletak pada bahagian sistem kuasa. Zeekr 7X kini menggunakan motor 900 volt yang dinaik taraf dari model 001 tahun 2026. Untuk varian pacuan roda belakang (RWD) dengan satu motor, kuasa kini meningkat kepada 503 PS (370 kW) dan 535 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 5.4 saat, atau 5.1 saat untuk varian jarak jauh. Bagi versi pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor, kuasa melonjak sehingga 795 PS (585 kW), membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j sepantas 2.98 saat.
Dari aspek jarak pemanduan, model asas masih menggunakan bateri 75 kWh jenis lithium iron phosphate (dikenali sebagai Golden Brick), namun dengan sedikit peningkatan jarak sehingga 620 km mengikut kitaran CLTC China. Untuk varian jarak jauh, bateri yang digunakan adalah 103 kWh jenis NMC (nickel-mangan-kobalt), dengan jarak maksimum mencecah 802 km bagi RWD dan 715 km untuk AWD.
Zeekr 7X juga mengekalkan keupayaannya untuk pengecasan pantas DC. Model asas menyokong pengecasan “5.5C”, iaitu sehingga 450 kW, membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dilakukan dalam hanya 10.5 minit. Untuk varian jarak jauh, kadar pengecasan kini ditingkatkan ke “6C” (sekitar 650 kW) hasil penggunaan sistem elektrik 900 volt sepenuhnya, dengan masa pengecasan dari 10% ke 80% hanya mengambil masa 10 minit.
Dari sudut keselamatan, semua varian kini didatangkan standard dengan sistem bantuan pemandu G-Pilot H7 oleh Geely, yang dikuasakan oleh cip Nvidia Drive Thor-U terkini. Dengan penggunaan sensor lidar di sekeliling, Zeekr 7X kini menyokong pemanduan automatik tahap tinggi dari pintu ke pintu serta fungsi parkir automatik kawalan jauh. Zeekr 7X versi facelift ini akan dilancarkan secara rasmi di China pada 28 Oktober.
The post Zeekr 7X facelift didedah – sistem elektrik 900V, jarak gerak CLTC 802 km, pengecasan DC 6C, 795 PS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















