Zeekr 009 bakal diberikan kemaskini di pasaran China. Spesifikasi awal berkaitan perkara ini terkandung dalam fail yang didedahkan oleh Kementerian Industri da Teknologi Maklumat (MIIT) China. MPV yang diberikan kemaskini tersebut dijangka akan membuat penampilan sulung ketika acara pameran Auto Beijing hujung April ini, seperti dilaporkan oleh CarNewsChina.
Penampilan luaran 009 terbaru ini masih kekal seperti sebelumnya, begitu juga dengan dimensi ukurannya. Konfigurasi enam atau tujuh-tempat duduk juga akan terus ditawarkan, begitu juga dengan ciri sensor LiDAR di bumbungnya seperti versi 2024 untuk pasaran di sana.
Perubahan paling besar melibatkan sistem janaan kuasanya, yang menyaksikan penggunaan seni bina elektrikal 900-volt. 009 pada awalnya menggunakan sistem 400-volt pada 2023 sebelum beralih kepada sistem 800-volt pada 2024, yang turut menyaksikan pengenalan varian pacuan roda depan untuk versi kedua tersebut.

Dengan sistem 900-volt terbaru ini, output puncak 009 naik mencapai angka 925 PS (912 hp atau 680 kW), dengan motor elektrik di depan dilaporkan menjana sebanyak 421 PS (416 hp dan 310 kW), sementara unit motor elektrik di belakang memberikan sebanyak 503 PS (496 hp atau 370 kW). Sebagai perbandingan, model sedia ada dengan pacuan semua roda ketika ini memberikan janaan sebanyak 789 PS (778 hp atau 580 kW).
Fail berkenaan tidak menyatakan sebarang maklumat berkaitan bateri yang digunakan, tetapi difahamkan bahawa MPV berkenaan akan dilengkapi dengan bateri jenis nickel manganese cobalt (NMC) daripada CATL-Geely. Dengan sistem 900-volt, MPV ini mampu mencapai kadar cas 12C, dengan SoC 10%-80% dicapai dalam masa hanya tujuh minit.
The post Zeekr 009 2026 dikemaskini di China — guna sistem 900-volt, hingga 925 PS; jangka diperkenalkan April ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















