Didedahkan kali pertama pada penghujung tahun 2024, versi terkini bagi Yamaha Tenere 700 kini sudah tiba di Malaysia, dilancarkan pada harga RM58,998 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Warna yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia ini sebenarnya adalah daripada versi Rally, tetapi datang dengan spesifikasi versi Standard. Banyak pembaharuan dibuat bagi model baru ini, bermula dengan panel badan, yang termasuk penghadang angin hadapan, tangki, lampu LED hadapan serta tempat duduknya.
Kemudiannya sekarang, Tenere 700 sudah menggunakan sistem pendikit ride-by-wire YCC-T, sekaligus membolehkan ia dilengkapi dengan kawalan cengkaman (boleh ditutup) serta mod tunggangan, yang disediakan dalam dua pilihan (Sport dan Explorer).
Sama seperti sebelum ini, Tenere 700 mempunyai sistem ABS yang boleh dipilih, sama ada untuk berfungsi di hadapan dan belakang, hadapan sahaja atau ditutup terus, tetapi sekarang ia dilengkapi dengan butang khas untuk melakukan pilihan tersebut di sebelah meter TFT 6.3 inci barunya (dengan sambungan kepada telefon pintar).
Meter serta fungsi utama motosikal ini boleh dikawal melalui butang baru di bahagian kiri pemegang, yang kini berupa tombol kecil, seperti pada MT-07. Untuk bahagian pengendalian, Yamaha telah menambah baik fork 43 mm pada model ini dengan pelarasan pra beban (selain mampatan dan lantunan), manakala monoshock belakang juga boleh dilaras sepenuhnya.
Jarak gerak suspensi ini masih lagi 210 mm di hadapan dan 200 mm di belakang, sekaligus tinggi tempat duduk juga tidak berubah – 875 mm. Jarak dari tanah pula adalah 240 mm manakala tangki bahan api masih berkapasiti 16 liter.
Ciri ergonomik motosikal ini turut tidak diabaikan dengan pembaharuan yang dibuat antaranya menggunakan penutup klac yang lebih nipis supaya tidak mengganggu kaki penunggang serta pemijak kaki yang lebih lebar dan panjang.
Enjin secara asasnya tidak diubah, masih lagi unit dua silinder selari DOHC 689 cc, bersama kotak gear enam kelajuan, yang berkemampuan 73.4 PS pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm, tetapi ia mempunyai salur udara baru serta transmisi yang ditala semula.
Kelengkapan lain yang terdapat pada Tenere 700 2025 adalah rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, soket pengecas serta brek yang terdiri daripada set cakera berkembar 282 mm dengan angkup Brembo di hadapan dan cakera tunggal 245 mm di belakang. Berat keseluruhan Tenere 700 adalah 208 kg.
The post Yamaha Tenere 700 2026 dilancar di Malaysia – banyak bahagian dinaik taraf, TC, mod tunggangan, RM59k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.








































