Yamaha R25, versi dipertingkat yang sudah diperkenalkan di beberapa negara awal tahun ini sekarang sudah tiba di Malaysia, ditawarkan dalam pilihan dua warna iaitu Pearl Blu dan Racing Blu, dijual pada harga RM23,900 tidak termasuk insurans.
Perubahan paling utama bermula di bahagian penampilan, dengan semua panel badannya adalah baru, dan mempunyai bukaan udara berbentuk M pada fairing hadapan, seperti R9 dan R1 GYTR. Lampu hadapan adalah lebih nipis, dan kini menggunakan unit LED projector, bersama jalur LED. Lampu belakang juga diubah menggunakan bentuk yang menegak.
Enjin secara asasnya masih lagi unit dua silinder selari empat strok 249.55 cc DOHC empat injap, tetapi kini mendapat penarafan emisi Euro 5+ hasil daripada perubahan yang dibuat pada kebuk pembakaran, salur kemasukan udara serta ekzos. Kuasanya masih lagi 35.4 hp pada 12,000 rpm dan tork 22.6 Nm pada 10,000 rpm.
Membantu aspek prestasi pada model baru ini adalah klac jenis slip & assist, yang bukan sahaja menjadikan tarikan tuil lebih ringan, tetapi juga mengelakkan gelinciran pada roda belakang apabila menurunkan gear secara ekstrem. Transmisi adalah unit enam kelajuan.
Bentuk meter digital LCD pada R25 ini masih kelihatan sama, tetapi ia sekarang sudah dilengkapi dengan sistem sambungan kepada telefon pintar, Y-Connect yang mampu memaparkan notifikasi panggilan serta akses informasi tambahan pada telefon.
Kelengkapan lain yang tersedia pada R25 2025 adalah termasuk pengecas USB-A, tangki bahan api 14 liter, fork USD, ABS dual-channel, brek cakera hadapan dan belakang serta rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Berat keseluruhan adalah 166 kg.
The post Yamaha R25 2025 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – klac assist & slip, sambungan Y-Connect, RM24k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


































