Hampir tiga tahun berada dalam pasaran, Yamaha EZ115 sekali lagi disegarkan semula, dengan kini ditawarkan dalam tiga warna baru iaitu biru, kelabu dan hijau. Harga cadangan pengeluar bagaimanapun tidak berubah, masih lagi RM5,698 tidak termasuk insurans.
Walaupun menggunakan nama yang bermula dengan huruf EZ, motosikal ini sebenarnya bukanlah sebuah skuter. Ia sebaliknya adalah kapcai bertransmisi empat kelajuan (tanpa klac tangan), dan dipacu oleh enjin satu silinder, SOHC, suntikan bahan api, 114 cc, mampu menghasilkan kuasa 8.7 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.
Enjin yang mendapat penarafan Euro 4 itu boleh dihidupkan dengan menggunakan penendang kaki ataupun butang elektrik, sementara pada panel meter pula terdapat lampu penunjuk Eco serta tanda amaran bateri sekiranya bateri mula menjadi lemah.
EZ115 juga boleh memberikan kemudahan tambahan kepada pengguna dengan menyediakan ruang simpanan di bawah tempat duduk, tetapi ia telah menjadikan tangki bahan apinya sedikit kecil berbanding Lagenda 115Z, iaitu 3.9 liter (Lagenda berkapasiti 4.05 liter).
Bahagian lain motosikal ini dijadikan ringkas sahaja, dengan lampu masih menggunakan mentol, brek cakera hanya di depan (belakang menggunakan dram) dan rim bersaiz 17 inci dengan tayar 70/90 di depan dan 80/90 di belakang. Suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.
The post Yamaha EZ115 tampil dengan warna baru – RM5,698 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























