SUV elektrik Xpeng G6 kini menerima varian baru dikenali sebagai PowerX di pasaran China, mengikuti jejak langkah MPV elektrik Xpeng X9 yang sebelum ini turut diperkenalkan dengan teknologi sama. Sering dilihat sebagai pesaing kepada Tesla Model Y, SUV ini sekarang ditambah dengan sistem range extender.
Melalui sistem tersebut, G6 PowerX dilengkapi enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo yang ditempatkan di bahagian hadapan. Walaubagaimanapun, enjin pembakaran dalaman itu tidak memacu roda secara langsung. Sebaliknya ia berfungsi sebagai penjana untuk mengecas bateri LFP berkapasiti 55.8 kWh pada kadar sehingga 85 kW.
Kuasa pemanduan masih sepenuhnya disalurkan oleh satu motor elektrik di gandar belakang yang menghasilkan 296 PS (218 kW) dan 450 Nm tork. Dengan konfigurasi ini, pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat, kira-kira tiga persepuluh saat lebih perlahan berbanding versi elektrik sepenuhnya.
Menurut Xpeng, G6 PowerX mampu bergerak sehingga 450 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya berdasarkan kitaran CLTC di China. Dengan bantuan enjin penjana tersebut, jarak keseluruhan boleh mencecah sehingga 1,704 km. Penggunaan bahan api pula dianggarkan pada kadar 2.24 liter bagi setiap 100 km, manakala apabila bateri habis, penggunaan meningkat kepada sekitar 5.9 liter bagi setiap 100 km.
Dari segi sistem pengecasan, G6 PowerX masih menggunakan seni bina elektrik 800 volt. Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga sekitar 5C, yang dianggarkan kira-kira 280 kW. Ini membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 12 minit, sama seperti versi EV biasa yang menyokong pengecasan sehingga 451 kW.
Selain perubahan pada rangkaian kuasa, G6 PowerX turut menerima penambahbaikan pada sistem casis. Antaranya termasuk penyerap hentak adaptif baru yang dikawal oleh sistem kawalan casis berasaskan kecerdasan buatan (AI), serta penggunaan bush hidraulik yang telah dipertingkatkan.
Dari segi reka bentuk, perubahan luaran adalah minimum dan sebahagian besar kekal sama seperti model facelift yang diperkenalkan sebelum ini. Antara ciri yang masih dikekalkan termasuk jalur lampu hadapan penuh merentasi bahagian depan, lengkuk roda yang kini dicat sepenuhnya mengikut warna badan, spoiler kecil pada bahagian belakang serta rekaan rim baru. Perbezaan yang paling jelas pada versi PowerX hanyalah gril hadapan yang lebih terbuka serta kehadiran penutup pengisian bahan api.
Bahagian dalaman juga mengambil inspirasi daripada model facelift. Ia menampilkan papan pemuka serta panel pintu yang direka semula, bersama sistem pencahayaan ambien yang lebih meluas. Dari sudut teknologi, kabin dilengkapi paparan instrumen digital bersaiz 10.25 inci dan skrin infotainmen sentuh 15.6 inci.
Turut disediakan adalah dua pengecas Qi tanpa wayar 50 watt dan sistem audio Xopera dengan 18 pembesar suara. Xpeng turut mendakwa G6 PowerX merupakan satu-satunya model REEV dalam kelasnya yang menawarkan sistem pembatalan bunyi aktif.
Bagi sistem bantuan pemandu pula, G6 PowerX menggunakan tiga cip AI Turing terkini keluaran Xpeng yang memberikan kuasa pemprosesan sehingga 2,250 TOPS. Perkakasan ini menyokong model visual-language-action (VLA) generasi kedua bagi meningkatkan keupayaan pemanduan automatik. Xpeng menyasarkan tahap autonomi Tahap 4 dapat dicapai dalam tempoh antara satu hingga tiga tahun akan datang.
Di China, Xpeng G6 PowerX kini ditawarkan dalam satu varian dengan harga 186,800 yuan, bersamaan kira-kira RM107,400. Dengan semakin banyak pasaran global mula mempertimbangkan alternatif kepada kenderaan elektrik sepenuhnya, tidak mustahil varian PowerX untuk G6 dan X9 akan diperluaskan ke pasaran lain pada masa hadapan, termasuk Malaysia.
The post Xpeng G6 PowerX – versi REEV dengan kuasa 296 PS, jarak gerak EV CLTC 430 km, keseluruhan 1,704 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




























