Pasukan Wing Hin Motorsports dari Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ia akan terus bertanding dalam siri perlumbaan Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Cup di Jepun untuk musim penuh 2026 bagi mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraih musim lalu, dan sebagai tambahan pasukan itu juga turut akan membuat penampilan dalam siri perlumbaan ketahanan Eneos Super Taikyu secara musim penuh tahun ini.
Perlumbaan pertama Eneos Super Taikyu 2026 akan bermula hujung minggu ini iaitu 21 hingga 22 Mac dengan dua perlumbaan masing-masing selama empat-jam yang berlangsung di litar Mobility Resort Motegi, di mana Wing Hin Motorsport akan mempertaruhkan Toyota GR Supra GT4 Evo2, dipandu oleh dua pemandu negara iaitu Naquib Azlan dan Amer Harris, serta dibantu oleh seorang pemandu Jepun Shuji Maeshima.
“Peralihan ke Super Taikyu sebahagian besarnya didorong oleh kejayaan pasukan dalam siri clubman Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Cup 2025 di mana Naquib memenangi gelaran juara keseluruhan dalam musim penuh pertama kami dan Amer menamatkan perlumbaan di tempat ke-4, serta memperoleh tempat ke-4 dalam kelas bersama Mitchell Cheah dalam Siri Langstrecken ADAC Nurburgring 4 Jam pada tahun 2025. Bersaing di Jepun menggariskan objektif jangka panjang untuk memberi inspirasi, menyokong dan menyediakan platform yang mampan kepada pemandu muda berbakat dari seluruh Asia untuk menaiki tangga sukan permotoran. Kami berada dalam usaha ini untuk mewujudkan peluang baharu untuk pemandu muda berbakat ini,” kata Ketua Pasukan Wing Hin Motorsports, William Loh.
Siri Eneos Super Taikyu 2026 akan menampilkan 7 pusingan perlumbaan, semuanya berlangsung di pelbagai litar di Jepun. Pusingan 2 akan berlangsung selama 5 Jam pada 18-19 April di Litar Suzuka sebelum pemandu berehat sebagai persediaan untuk Pusingan 3 yang akan berlangsung selama 24 Jam di Fuji Speedway dari 5-7 Jun. Pusingan 4 Siri ini akan berpindah ke Sportsland Sugo untuk dua perlumbaan 4 Jam individu dari 4-5 Julai; diikuti oleh Pusingan 5 di Litar Antarabangsa Autopolis untuk perlumbaan tunggal selama 5 Jam pada 25-26 Julai; dan pusingan kedua terakhir pada 24-25 Oktober di Litar Antarabangsa Okayama untuk dua perlumbaan 3 Jam. Pusingan ke-7 dan terakhir akan membawa pemandu kembali ke Fuji Speedway untuk perlumbaan tunggal selama 4 Jam.
Penyertaan Wing Hin Motorsports ke Jepun dibimbing oleh Masahiro Sasaki yang bertindak sebagai penasihat pasukan. Masahiro Sasaki memainkan peranan penting dalam membimbing pemandu muda Malaysia seperti Naquib Azlan dan Amer Harris semasa GR86/BRZ Cup Jepun 2025 yang pertama, yang membawa kepada keputusan membanggakan bagi pemandu muda ini di Jepun. Masahiro Sasaki merupakan pemandu Toyota Gazoo Racing dan juga merupakan pemandu pembangunan untuk Toyota dan Lexus. Pengalamannya juga termasuk bertanding dalam GR86/BRZ Cup, Super Taikyu; Nurburgring 24 Jam; dan memandu dalam Kelas GT300 Siri Autobacs Super GT.
Untuk GR86/BRZ Cup 2026, pasukan Wing Hin Motorsport akan diwakili oleh seorang lagi pelumba muda negara iaitu Mitchell Cheah. Selain dari berlumba dalam perlumbaan siri ADAC Nurburgring Langstrecken 4-Jam tahun lalu, Cheah juga mengemudi GR Supra GT4 Evo2 Wing Hin Motorsport dalam Thailand Super Series (TSS) untuk bergelar juara kelas GT4.
Cheah turut berperanan penting dalam memacu pasukan itu mencapai pelbagai kemenangan dan pencapaian dalam siri Trofi Idemitsu Super Endurance Asia Tenggara di Thailand, menamatkan perlumbaan di tempat ke-3 dalam Kelas D3 pada tahun 2025; meraih tempat ke-2 dalam Kelas D4 pada tahun 2024; dan mendapat tempat ke-4 dalam Kelas D3 dan tempat ke-10 keseluruhan pada tahun 2023.
Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Cup 2026 akan berlangsung dalam tujuh pusingan, dengan pembukaan musim dijadualkan pada 5 April di Litar Autopolis, kemudian beralih ke Pusingan 2 dari 16-17 Mei di Sportsland Sugo. Ia diikuti oleh Pusingan 3 dari 27-28 Jun di Litar Antarabangsa Okayama; dan Pusingan 4 dari 8-9 Ogos di Litar Lumba Tokachi; Pusingan 5 di Litar Fuji Speedway dari 5-6 September, diikuti oleh Pusingan 6 dari 3-4 Oktober di Litar Suzuka sebelum pusingan ke-7 dan terakhir di Mobility Resort Motegi dari 21-22 November.
Wing Hin Motorsports juga terlibat dalam inisiatif Program Perlumbaan Pelanggan bagi menyediakan pasukan kepada pelumba muda Indonesia, Jordan Johan menerusi satu lagi GR86 yang akan berlumba di bawah panji Toyota Gazoo Racing Indonesia. Program yang telah diperkenalkan tahun lalu ini akan menyaksikan Wing Hin Motorsports menyediakan kereta, kru teknikal dan sokongan perlumbaan kepada pemandu berkenaan.
“Program Perlumbaan Pelanggan disediakan untuk menyokong komitmen kami bagi membantu pemandu muda berbakat di Asia menaiki tangga sukan permotoran dengan cara yang lebih berstruktur dan mampan. Sukan permotoran memerlukan pelaburan yang besar tetapi dengan program ini, kami berharap dapat menyediakan individu, syarikat dan pasukan dengan penyertaan yang bukan sahaja dipercepatkan malah tetap kukuh. Program Perlumbaan Pelanggan juga meletakkan Wing Hin Motorsports secara strategik untuk meningkatkan pengalaman, kehebatan teknikal dan profesionalisme kami dalam sukan permotoran,” kata Loh.
The post Wing Hin Motorsports bawa cabaran Malaysia ke siri perlumbaan Super Taikyu & TGR GR86/BRZ Cup 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






















