Penguatkuasaan sepenuhnya Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki Malaysia bermula semalam, namun masih terdapat pemilik kenderaan yang menghadapi kesukaran memautkan tag RFID mereka kepada aplikasi Touch ‘n Go.

Tinjauan Bernama di pusat VEP Danga Bay mendapati orang ramai mula beratur seawal jam 8.30 pagi bagi tujuan pendaftaran, pemasangan tag RFID serta menyelesaikan masalah berkaitan aplikasi Touch ‘n Go. Seorang warga Singapura, Mohd Nagit Kassim, 60 berkata, proses pendaftaran secara umum mudah, namun beliau gagal mengemas kini maklumat dalam telefon bimbitnya.

“Pada saya proses (pendaftaran) okey dan senang, cuma untuk kemas kini di telefon bimbit tidak boleh, jadi susah. Kami bimbang akan timbul isu semasa di sempadan. Saya dan isteri sudah cuba banyak kali, tapi tidak boleh, sebab itu saya ke sini kerana takut nanti kami akan dikompaun pula.”

“Adalah lebih baik jika panduan itu dipaparkan di cermin atau dinding supaya pengguna boleh rujuk dengan mudah,”kata Nagit yang kerap ke Johor Bahru, hampir setiap minggu.

Warga Singapura gesa penambahbaikan pada sistem VEP-RFID – hadapi masalah pautkan dengan TnG

Masalah serupa turut dihadapi Sunny Koh, 56, seorang pekerja sektor swasta. Beliau memohon VEP pada November tahun lalu dan menyifatkan prosesnya pantas dan mudah, namun masih tidak dapat memautkan RFID dengan aplikasi Touch ‘n Go. “Saya datang ke sini dan berharap masalah dapat diselesaikan hari ini,” kata beliau.

Sementara itu, Fauziah Alias, 59, seorang suri rumah, berkata beliau sudah lama mendaftar dengan JPJ, namun tag RFID gagal dipautkan kepada aplikasi berkenaan. “Saya sudah cuba menggunakan komputer riba tetapi masih tidak boleh akses. Saya datang dari lapan pagi dan terpaksa menunggu agak lama. Hampir setengah jam juga masa diambil bagi setiap orang (berurusan) di kaunter.”

Menurut laporan Bernama, setakat 29 Jun lalu, sebanyak 42,416 (17%) daripada 248,504 tag RFID VEP yang dikeluarkan kepada kenderaan persendirian Singapura masih belum diaktifkan.

Di bawah Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), mana-mana kenderaan yang gagal mengaktifkan tag VEP akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 serta tidak dibenarkan meninggalkan Malaysia sehingga kompaun dilunaskan dan tag VEP diaktifkan.

The post Warga Singapura gesa penambahbaikan pada sistem VEP-RFID – hadapi masalah pautkan dengan TnG appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts