Menurut laporan Reuters, Volvo akan memanggil balik lebih 40,323 unit model EX30 di peringkat global berikutan risiko baterinya menjadi terlalu panas dan boleh menyebabkan kebakaran. Kedua-dua varian SUV elektrik tersebut, iaitu Single Motor Extended Range dan Twin Motor Performance terlibat dalam panggilan balik itu.
Bateri yang digunakan dalam unit terjejas dibekalkan oleh Shandong Geely Sunwoda Power Battery, iaitu usaha sama yang disokong oleh Geely, syarikat induk Volvo. Volvo memaklumkan kepada agensi berita tersebut bahawa pembekal bateri berkenaan telah membetulkan isu itu dan pihaknya akan menggantikan modul dalam pek bateri voltan tinggi bagi SUV kompak tersebut.
Unit yang terlibat akan dibaiki secara percuma, dan pemfailan kawal selia mendedahkan bahawa pemilik yang terlibat telah dimaklumkan sejak Disember 2025 supaya mengehadkan pengecasan kepada hanya 70% serta meletakkan kenderaan jauh dari bangunan sementara kerja pembaikan dilaksanakan. Modul bateri gantian itu dianggarkan oleh penganalisis menelan kos sebanyak USD195 juta (kira-kira RM760 juta) ditanggung Volvo, tidak termasuk kos logistik dan pembaikan.
Laporan Reuters itu mendedahkan skala panggilan balik berkenaan, yang pertama kali diumumkan oleh Volvo pada Januari tahun ini. Di Malaysia, kurang daripada 200 pemilik EX30 telah diminta membawa kenderaan mereka sebagai langkah pencegahan. Seperti yang dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia (VCM), Chris Wailes, kepada kami bulan lalu, VCM pada masa ini tidak mengetahui secara tepat berapa banyak kereta dalam kumpulan tersebut yang benar-benar mengalami kesulitan ini, namun tetap memanggil semula keseluruhannya sebagai langkah berjaga-jaga.
The post Volvo sahkan 40,323 unit EX30 terlibat dalam panggilan balik susulan risiko kebakaran bateri EV appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















