Selepas pendaftaran minat dan juga teasernya disiarkan awal bulan ini, kelibat sedan EV baharu Volvo ES90 muncul di Bangsar – imej ini dirakam oleh rakan kami di paultan.org sendiri, Jordan Xavier. Namun sedan berkenaan masih lagi dibalut sepenuhnya dengan pelekat penyamaran, dengan tertera tulisan ‘PROJ SELAMAT’ besar pada sisi badan serta menggunakan nombor plat yang turut tertulis ‘SELAMAT’.
Volvo ES90 telah disahkan oleh Volvo Car Malaysia (VCM) akan dilancarkan ke pasaran Malaysia bulan ini juga. ‘PROJ SELAMAT’ ini mungkin gimik pelancaran yang akan dibuat untuk sedan ini – Volvo dengan ‘selamat’ memang tidak boleh dipisahkan kan?
Tarikh pelancaran, varian serta harganya masih belum diumumkan, namun VCM mengesahkan bahawa bagi 100 pelanggan terawal yang menempah model ini dengan membuat pendaftaran bermula 2 Januari hingga 31 Mac 2026 akan menerima insentif sebanyak 2%.
ES90 membuat kemunculan globalnya pada bulan Mac tahun lalu. Ia diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA2), namun tidak seperti EX90 yang diperkenalkan dengan sistem 400-volt untuk permulaan dan kemudian beralih kepada sistem 800-volt pada September tahun lalu, ES90 ini pula terus menerima sistem 800-volt untuk beroperasi.
Ini membolehkan sedan ini menggunakan pengecas pantas DC sehingga 350 kW, membenarkan cas bateri dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 22 minit serta mendapatkan jarak gerak sejauh 300 km hanya dalam masa 10-minit.
Bagi pasaran Malaysia VCM menyatakan bahawa ES90 akan terus hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dengan diproduksi di Shah Alam. VCM turut mengesahkan bahawa model pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan kuasa 333 PS dan tork maksima 480 Nm.
Angka tersebut menunjukkan bahawa ia adalah dari varian Single Motor dengan hanya satu motor tunggal memacu roda belakang, dibekalkan dengan bateri NMC 92 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 651 km dalam kitaran ujian WLTP, serta memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat. Pada pasaran lain ES90 turut hadir dengan pilihan varian Twin Motor dan Twin Motor Performance yang lebih berkuasa.
ES90 juga merupakan model pertama Volvo yang menampilkan sistem komputer Nvidia Drive AGX Orin sebagai sebahagian dari teknologi Superset, di mana ia mengawal fungsi AI, kelengkapan keselamaran, penderia-penderia kenderaan dan juga sistem pengurusan bateri.
Model ini telahpun dilancarkan di Thailand pada Oktober tahun lalu di mana negara tersebut turut menerima hanya satu varian tunggal iaitu Ultra Single Motor, dijual pada harga 2.99 juta baht (sekitar RM386k) untuk model yang diimport sepenuhnya dari China.
Dengan hadir terus dalam versi CKD, Volvo ES90 ini mungkin akan dijual dengan harga yang kompetitif di Malaysia kerana ia masih menerima insentif pengecualian duti dan eksais dari kerajaan. Agak-agak anda berapa harga jualannya nanti? Kongsikan bersama kami menerusi ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.
GALERI: Volvo ES90
The post Volvo ES90 telah dilihat di KL dengan pelekat penyamaran, akan dilancarkan di Malaysia bulan ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




























































































































































